Connect with us

General

Bertahun-tahun orang bash sebab main game – Soloz

Published

on

Foto: YouTube Du/ TOYOTA GAZOO Racing Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelbagai kecaman diterima terutama dari kalangan rakan-rakan seusia ketika mula-mula memilih untuk bermain permainan video, kata penghibur penstriman langsung Facebook Gaming Nombor 1 Malaysia, Mohd Faris Zakaria (Soloz).

Soloz berkata sebelum ini ramai yang memberi tanggapan bahawa bermain permainan video tidak menjamin masa depan.

“Dulu orang tak pandang e-sukan. Ramai dalam kawan-kawan sekolah marah. Mereka kata asyik buang masa main game kerana tiada masa hadapan.

“Tapi sebab kita minat, kan? Kita main game sebagai hobi, kita teruskan main juga. Selesai sekolah memang saya main.

“Tapi sekarang industri e-sukan semakin rancak. Banyak kejohanan telah dijalankan dan e-sukan juga mendapat sokongan dari kerajaan. Jadi disebabkan itu orang baru mula menerima mengenai e-sukan,” kata Soloz.

Soloz berkata demikian dalam satu sesi temu bual sempena Grand Final Kejohanan E-sukan Toyota Velocity 2020 yang diadakan hujung minggu lalu.

Dalam grand final itu menyaksikan Taj Izrin Aiman muncul sebagai juara dan dipilih untuk mewakili Malaysia dalam Kelayakan GR Supra GT Cup Asia Pasifik 2020 yang akan berlangsung pada 25 Oktober.

Soloz menghadiri acara e-sukan itu sebagai selebriti jemputan yang menyertai Perlumbaan Pertunjukan Toyota GR.

Selain Soloz, perlumbaan pertunjukan itu juga disertai penghibur penstriman langsung popular tanah air dari Team Bosskurr iaitu Nureddy Nursal (Daddyhood),Sofian Sultan (Penjahat) dan pengacara terkenal Nabil Ahmad dan Ain Edruce.

Sementara itu, Soloz juga berkata penerimaan orang ramai mengenai e-sukan semakin terbuka apabila dia mula mewakili Malaysia dalam kejohanan e-sukan.

“Bila kita membawa nama negara (ke kejohanan), orang baru mula menerima e-sukan.

“E-sukan bukan buang masa tapi boleh juga dijadikan sebagai sumber kewangan dan mengembangkan karier.

“Sebelum ini bertahun-tahun kena bash (dikecam) sebab main game tapi saya teruskan sebab minat,” tambah Soloz.

Soloz sebelum ini pernah menyumbangkan pingat gangsa kepada Malaysia menerusi acara e-sukan Mobile Legends:Bang Bang (MLBB) dalam Sukan SEA 2019 yang diadakan di Manila, Filipina.

Dia juga pernah mewakili Malaysia bersama AirAsia Saiyan dalam Piala Asia Tenggara MLBB 2018 di Jakarta, Indonesia.

Soloz menyifatkan penganjuran kejohanan-kejohanan antarabangsa seperti The International juga dilihat menjadi titik perubahan dalam memberi perspektif baharu orang ramai mengenai e-sukan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved