Bisnes E-Sukan
Galaxy Racer labur RM42 juta untuk Malaysia

KUALA LUMPUR – Organisasi e-sukan antarabangsa yang beribu pejabat di Dubai, Galaxy Racer (GXR), mengumumkan projek pelaburan sebanyak RM42 juta (AS$10 juta) untuk pembangunan ekosistem e-sukan Malaysia.
Galaxy Racer berkata pelaburan itu adalah untuk rancangan e-sukan yang akan diadakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
BACA: Galaxy Racer intai market esports Malaysia
“Galaxy Racer merancang untuk mengadakan lebih banyak acara dan kejohanan e-sukan untuk menyemarakkan lagi ekosistem tempatan.
“Kami juga akan melancarkan ibu pejabat Galaxy Racer bagi cawangan Asia Pasifik (APAC) di Malaysia pada tahun ini dan mahu menjadikan negara ini sebagai hub digital di rantau ini.
“Pejabat APAC akan memberikan tumpuan kepada kandungan e-sukan, pasukan e-sukan, acara e-sukan, barangan e-sukan dan label muzik serta studio animasi visual kesan khas bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Galaxy Racer, rancangan itu adalah bagi meletakkan organisasi itu sebagai peneraju pemasaran dalam industri kandungan digital.
Jelasnya lagi, pihaknya juga mahu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang mahu bekerja dalam industri e-sukan antarabangsa, gaming dan gaya hidup.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Galaxy Racer, Paul Roy berkata pihaknya percaya dengan matlamat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam menjadikan Malaysia sebagai ekonomi nilai tambah tinggi dan pengeksport bersih teknologi tempatan dan digital.
“Kami menghargai usaha MDEC dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam memudahkan pelaburan asing ke Malaysia seperti pemohonan status MSC, kemudahan melakukan perniagaan dan geran industri yang berkaitan dengan gaming.
“Kami teruja untuk mencipta lebih banyak impak positif dalam e-sukan dan ekonomi digital bagi meningkatkan kualiti bakat-bakat Malaysia,” kata Paul dalam kenyataan bersama.
Ekonomi digital menjadi salah satu penyumbang terbesar untuk Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, iaitu 22.6% daripada ekonomi negara.
Ia dijangka akan menyumbang sehingga 25.5% menjelang 2025, mengatasi penyumbang terbesar tradisional kepada KDKK negara iaitu minyak dan gas.
Lantara itu, Galaxy Racer menyatakan pihaknya yakin dan percaya MDEC mampu menjadi pemangkin kepada Revolusi Perindustrian Keempat negara (IR 4.0).
Galaxy Racer yang ditubuhkan pada 2019 merupakan organisasi e-sukan yang sedang berkembang pesat sekarang terutama di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Organisasi e-sukan itu telah merekrut veteran Disney Oriental DreamWorks Guenther Hake untuk memberi tumpuan kepada kerjasama penjenamaan, barangan eksklusif dan produk pengguna.
Setakat ini, Galaxy Racer Esports mempunyai lebih 10 pasukan e-sukan profesional dari 20 negara berbeza di bawah naungannya, termasuk pasukan Valorant wanita di Filipina.