Bisnes E-Sukan
Geek Slate dijenamakan kembali sebagai Geek Fam

TIADA lagi Geek Slate, kerana ia akan dijenamakan kembali kepada nama asalnya, iaitu Geek Fam.
Perkara itu diumumkan Geek Fam dalam satu kenyataan media pada malam tadi, susulan tamatnya kerjasama antara Geek Fam, Avant Talents dan Avium.
Menurut Geek Fam kerjasama yang bertahan hanya selama kira-kira enam bulan itu ditamatkan kerana ia dilihat tidak kukuh dan bertentangan dengan nilai dan cita-cita Geek Fam.
“Jenama Geek Slate akan kembali kepada Geek Fam dan semua pasukan kompetitif kami akan menggunakan nama Geek Fam.
“Walaupun dengan situasi yang tidak diinginkan ini, Geek Fam masih mampu untuk meneruskan dalam memastikan pemain e-sukan dan staf mampu beraksi tanpa masalah memikirkan masalah kewangan,” kata Geek Fam dalam kenyataan yang sama.
Tambah Geek Fam lagi, pemain-pemain kompetitifnya tetap mampu memberikan saingan sepanjang enam bulan ni, termasuk menjadi Top 10 Pasukan Terbaik Dunia bagi kategori PUBG Mobile dan berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Major Lima menerusi skuad Dota 2.
Berpaksikan kepada slogan “Once a Geek, always a Fam,” organisasi itu memberikan jaminan yang pihaknya akan sentiasa menjaga kebajikan antara satu sama lain.