Bisnes E-Sukan
Arab Saudi bina bandar e-sukan bernilai lebih RM2.3billion, dijangka siap 2024

ARAB Saudi merancang untuk membina bandar e-sukan mega di Riyadh, yang bernilai kira-kira RM2.3 billion (AS$500 juta).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Arabia Holding Co, Mohammed AlQahtani, pembinaan bandar e-sukan itu adalah bertujuan untuk menjadikan Arab Saudi sebagai hab global untuk industri e-sukan.
“Pembinaan bandar ini adalah sebahagian daripada rancangan #SaudiVision2030, yang mensasarkan untuk meluaskan lagi ekonomi negara selain minyak.
“Rancangan ini juga untuk memberi fokus kepada pembangunan industri gaming di negara ini, yang ketika ini dijangka melebihi RM4 billion (AS$1 billion),” kata Mohammed AlQahtani.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di LinkedIn baru-baru ini.
Jelasnya, pembinaan bandar e-sukan itu dijangka siap pada tahun hadapan dan bakal menyediakan kapasiti sebanyak 20,000 penonton.
“Bandar ini akan menyediakan platform baru bagi penggiat e-sukan untuk menunjukkan skil dan bertanding di pentas antarabangsa.
“Penganjuran beberapa acara e-sukan termasuk World Cyber Games juga akan diadakan di sini.
“Pembangunan ini juga merupakan penanda aras komitmen negara untuk membangunkan industri, dan dijangkan akan menarik lebih banyak pasukan e-sukan terkemuka dan pemain dari seluruh dunia,”tambahnya.
Menurut portal e-sukan antarabangsa, Dexerto, Arab Saudi kini sedang meluaskan ekosistem e-sukan dan mahu menjadi pemangkin utama dalam industri ini pada tahun ini.
Sebelum ini, agensi yang disokong kerajaan Arab Saudi, Savvy Gaming Group membelanjakan sebanyak RM6.9 billion (AS$1.5) untuk membeli syarikat produksi kejohanan e-sukan ESL dan FACEIT.
Selain itu, Savvy Gaming Group juga melaburkan sebanyak RM1.1 billion (AS$$250 juta) untuk syarikat operator kejohanan China, VSPO.