Connect with us

General

MasterRamen semakin stabil, namun ada masalah jantung

Published

on

Foto: FACEBOOK / Master Ramen

“MALAM tadi, saya berjuang untuk hidup saya. Kadar nadi 230 denyutan (seminit). Dada terasa sangat berat, bahu kiri dan lengan terasa kebas dan sakit.

“Kepala pening, nak pitam dan berpeluh satu badan.”

Itu situasi yang dialami oleh personaliti e-sukan popular tanah air, Firdaus Hashim atau MasterRamen pada awal pagi tadi apabila terkena serangan jantung.

BACA: MasterRamen dimasukkan ke ICU akibat serangan sakit jantung

Jelas MasterRamen, dia bersyukur pihak bahagian kecemasan Hospital Kuala Lumpur berjaya mengurangkan serangan jantungnya itu dan sempat memberi rawatan awal sebelum sampai ke hospital.

Menurut MasterRamen, dia kini berada di Hospital Gleneagle Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Petang ini saya akan melakukan prosedur Angiogram kerana jantung saya ada masalah.

“Doakan semua berjalan lancar dan dapat kembali seperti sedia kala.

“InsyaAllah, I’ll come back soon (saya akan kembali),” kata MasterRamen dalam satu kenyataan pada petang tadi.

Sebelum ini MasterRamen dilaporkan mengalami serangan jantung pada awal pagi Khamis dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

MasterRamen bukan satu nama asing dalam industri e-sukan di Malaysia.

Ada dalam kalangan peminat dan penggiat e-sukan yang menggelarkannya sebagai “Bapa E-Sukan Malaysia” berikutan sumbangannya dalam industri ini.

Sejak menceburi bidang ini pada 2012, MasterRamen telah menjadi pengurus untuk beberapa pasukan e-sukan ke kejohanan antarabangsa.

Dia juga pernah menjadi pengurus pasukan e-sukan Lowyat.Net Esports, Arrow Gaming, Mineski-X dan penasihat untuk Orange Taring.

MasterRamen juga pernah mengurus pasukan-pasukan e-sukan untuk ke kejohanan berprestij seperti The International 4, Asian Cyber Games SEA Invitational 2014, StarLadder SEA dan The International 6 dan mengurus kontinjen atlet e-sukan Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Dalam kalangan komuniti PUBG Mobile, dia sinonim dengan gelaran “Raja Camping” dan sering membuka custom room untuk melatih dan mengajak ramai pemain e-sukan itu untuk mengetengahkan bakat.

Dia juga sempat menubuhkan skuad profesional PUBG Mobile yang dikenali Bapak Ah Esports pada 2020 yang dilihat sebagai salah satu pasukan terkuat dalam Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Pertama (PMPL MYSG S1).

MasterRamen turut aktif melakukan penstriman langsung di Facebook Gaming dan mempunyai lebih 945,000 pengikut di platform itu.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved