Connect with us

General

Soloz terima pingat Negeri Sembilan

Published

on

Foto: Instagram / Soloz

PERSONALITI e-sukan popular tanah air, Mohd Faris Zakaria (Soloz) sah telah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK)  Negeri Sembilan.

Soloz merupakan antara individu yang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-74, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Istiadat pengurniaan pingat itu berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Soloz dalam satu catatan Instagram berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan yang diberikan dalam memartabatkan e-sukan.

Soloz merupakan antara nama besar dalam industri dan komuniti e-sukan tanah air.

Nama beliau mula meningkat naik selepas menceburi arena kompetitif Mobile Legends sejak 2017.

Pada tahun 2018, beliau mewakili Mysterious Assassins (MyA) untuk menyertai musim pertama Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL MYSG).

Pada tahun yang sama, Soloz kemudiannya berpindah ke pasukan AirAsia Saiyan dan mewakili Malaysia di Piala Asia Tenggara (MSC) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Pada November 2018, Soloz dan rakan-rakan sepasukannya memilih untuk meninggalkan pasukan AirAsia Saiyan dan menubuhkan Bosskurr Gaming.

Selepas kira-kira empat bulan menggunakan nama Bosskurr Gaming, pasukan itu kemudiannya mendapat tajaan syarikat e-dagang popular di Asia, iaitu Shopee.

Pasukan itu kemudiannya dijenamakan semula sebagai Shopee Bosskurr.

Ketika bersama Shopee Bosskurr, Soloz sempat menjadi kapten bagi pasukan itu semasa menyertai MPL MYSG Musim Keempat 2019.

Pada Disember 2019, Soloz dan skuad Bosskurr berjaya mewakili Malaysia untuk menyertai Temasya Sukan SEA Manila, Filipina dan menyumbangkan pingkat gangsa kepada negara.

Selepas tamat Sukan SEA 2019, Soloz kemudiannya mengesahkan akan berehat daripada menyertai kejohanan kompetitif dan akan mula memberi tumpuan dalam dunia hiburan penstriman langsung.

Antara pencapaian Soloz dalam dunia penstriman langsung termasuk Anugerah Pencipta Kandungan Facebook yang Paling Banyak Menerima Jumlah Tontonan di Malaysia yang pernah dimenanginya pada Julai 2019.

Pada Mei 2020, beliau menerima pengiktarafan dari Malaysia Book of Records sebagai pemegang rekod yang mempunyai Pengikut Facebook (E-Sukan) Paling Banyak.

Menerusi usaha kerasnya dalam menghiburkan komuniti, Soloz kini mempunyai lebih 2.6 juta pengikut di Facebook, 1.3 juta pengikut di Instagram dan 1.55 juta pelanggan di YouTube.

Selain bekerja sebagai penghibur penstriman langsung, Soloz juga pernah menaja sebuah pasukan PUBG Mobile tanah air, Anti Circle.

Soloz kini berkerja rapat dengan rakan kongsinya, Nureddy Nursal (Daddyhood) bagi membangunkan jenama Homebois dalam industri e-sukan, gaya hidup dan hiburan.

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved