Free Fire
Blacklist International tubuh skuad Free Fire di Malaysia

PASUKAN e-sukan popular Asia Tenggara, Blacklist International (Blacklist) dijangka bakal membuka cawangannya secara rasmi di Malaysia tidak lama lagi.
Dalam satu catatan di media sosial semalam, Blacklist ada memuatnaik satu gambar ‘Booyah’ dengan kapsyen:”Blacklist akan menggegarkan Malaysia.
“Ayuh #BreakTheCode bersama kami?”
Difahamkan, Blacklist telah pun menyertai arena Free Fire Malaysia dengan memiliki skuad Baby Argon pada Mac lalu.
Menurut Blacklist, pemilikan skuad Baby Argon adalah seiring dengan sasaran pasukan itu untuk meluaskan cawangannya di peringkat global.
Blacklist sebelum ini popular dengan skuad Mobile Legends yang berpangkalan di Filipina.
Dalam kejohanan MSC 2021 baru-baru ini, Blacklist menduduki tempat kedua selepas tewas kepada rakan senegara, Execration.
Blacklist merupakan pasukan e-sukan daripada syarikat hiburan dan e-sukan Asia, Tier One Entertainment (Tier One).
Syarikat itu dilihat telah melahirkan ramai pemain dan bakat e-sukan popular di Filipina dan Myanmar.
Sementara itu, dalam satu pengumuman Free Fire pada malam tadi, pihak penganjur telah berkongsikan senarai pasukan yang akan menyertai peringkat liga Kejohanan Free Fire Malaysia 2021.
Dalam senarai itu memaparkan Blacklist sebagai sebahagian daripada 18 pasukan yang akan bermain di peringkat liga itu.
Liga Free Fire Malaysia akan berlangsung pada 26 Jun sehingga 18 Julai nanti dan ia menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM200,000 (AS$50,000).