Free Fire
Free Fire: 4XMen Xpert sah sertai Orange Esports

KUALA LUMPUR- Pasukan Free Fire tempatan, 4XMen Xpert telah diumumkan secara rasmi akan bermain di bawah organisasi e-sukan Orange Esports bagi menghadapi Kejohanan Major Malaysia Kemboja Filipina (MCP) Musim Ketiga 2022.
Perkara itu disahkan Orange Esports melalui suatu video yang dimuat naik di laman rasmi Facebook. Video tersebut memaparkan barisan baharu rasmi pasukan itu.
Pasukan itu juga adalah penyandang tempat ketiga keseluruhan Kejohanan Major MCP Musim Kedua 2021 dan pernah melayakkan diri ke Play-ins Kejohanan Asia Free Fire 2021.
“Kami (Orange Esports) telah menandatangani 4XMen Xpert”.
“Latihan berpusat yang dirancang juga berharap dapat meningkatkan semangat dan keserasian pemain”, jelas pengurus pasukan, Keith Elisio, ketika dihubungi WTM Today.
Tambahan lagi, pasukan itu juga memasang impian untuk menjuarai MCP musim ketiga 2022 bagi melayakkan pasukan ke Siri Dunia Free Fire Sentosa pada Mei ini.
Berikut adalah barisan rasmi pemain yang diperkenalkan bagi menghadapi musim ini:
- Mohammad Razlan Abdullah (Jebat)
- Muhammad Alif Danial Midon (Decoz)
- Muhammad Akmal Ahmad Shukri (Torm)
- Galvin Guling (Goquu)
- Muhammad Nabil Yefrialdi (Rybell)
Kejohanan Major MCP Musim Ketiga 2022 yang akan berlangsung pada 11 Mac hingga 16 April nanti bakal menyaksikan 18 pasukan berentap bagi merebut kejuaraan.
MCP musim ketiga 2022 juga bersiaran langsung setiap Jumaat dan Sabtu di Facebook/Youtube rasmi Garena Free Fire Malaysia.