Connect with us

DOTA 2

#ONEDota2: MidOne kembali bermain untuk Team Secret

Published

on

PEMAIN e-sukan profesional tanah air Yeik Nai Zheng (MidOne) membuat kemunculan kembali bersama pasukannya sebelum ini iaitu Team Secret dalam satu kejohanan jemputan antarabangsa ONE Esports DOTA 2 World Pro Invitational Singapura.

Perkara itu diumumkan Team Secret pada pagi tadi menyatakan MidOne akan bermain sebagai pengganti (stand in).

“Cuba teka siapa kembali? Lagi sekali. MidOne kini kembali,” kata Team Secret dalam satu ciapan ringkas beserta gambar.

Dalam gambar itu turut memaparkan MidOne bersama kapten Team Secret, Clement Ivanov (Puppey), Lasse Urpalainen (MATUMBAMAN), Michał Jankowski (Nisha) dan Ludwig Wåhlberg (zai).

Menurusi gambar itu, MidOne dilihat akan menggantikan pemain utama Yazied Jaradat (YapzOr).

Sebelum ini MidOne, dilaporkan akan mengambil waktu berehat panjang dari arena kompetitif e-sukan itu dan akan dilepaskan dari barisan utama Team Secret.

Sepanjang MidOne bersama Team Secret, beliau telah memenangi tiga kejohanan Major Valve dan menyertai kejohanan dunia, The International selama tiga tahun berturut-turut.

MidOne dan Team Secret turut menduduki tempat ke-4 pada The International 9, iaitu rekod pencapaian paling tinggi dalam sejarah Team Secret.

Baru-baru ini nama MidOne dilihat telah didaftarkan dalam laman Dota 2 pada semalam bersama dengan pemain-pemain lain seperti Michael Ross (ninjaboogie), Nicholas Lim Eng Han (zeal), Lee Jia He (Chidori~) dan Ooi Yew Kah (KennyO).

Sementara itu kejohanan ONE Esports DOTA 2 World Pro Invitational Singapura bakal menyaksikan 12 pasukan terbaik Dota 2 bakal merebut hadiah terkumpul bernilai kira-kira RM141 juta (AS$34 juta).

Kejohanan ini akan berlangsung dari 20 hingga 22 Disember 2019 di Stadium Tertutup Singapura dan tiket boleh didapati di http://www.oneesports.gg/buydota2tickets.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved