Connect with us

DOTA 2

D4v4i dah lepas pergi Berlin, harap NTS boleh ke Romania – Eric FNATIC

Published

on

Foto: YouTube / We Play Dota 2

KUALA LUMPUR – Pengarah pasukan e-sukan antarabangsa FNATIC, Eric Khor memohon agar pihak berkaitan mempercepatkan proses permohonan pemain Dota 2, Cheng Jin Xiang (NothingToSay) untuk bermain di luar negara.

Menurut Eric, pemain tempatan itu sudah terlepas satu kejohanan besar berikutan proses permohanan ke luar negara yang masih belum diluluskan.

Jelasnya, NothingToSay masih belum boleh memohon MyTravelPass kerana tidak menerima surat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KSB) setakat ini.

“Tahniah kepada pemain Valorant, D4v4i kerana dapat ke kejohanan di Berlin.

“Saya hanya berharap ada juga sokongan yang berikan kepada pemain e-sukan yang lain seperti NothingToSay yang sebelum ini tidak dapat hadir ke Kejohanan ESL One Fall : Bootcamp Edition 2021 pada 21-29 Ogos lalu.

“Permohonan NTS ke luar negara tergendala kerana masih belum menerima surat sokongan di peringkat KBS walaupun sudah memohon sejak awal Ogos,” kata Eric kepada WTM Today pada hari ini.

MyTravelPass merupakan satu sistem daripada Jabatan Imigresen untuk rakat Malaysia dan warga asing yang mahu melakukan permohonan kebenaran masuk dan keluar negara.

Menurut laporan Berita Harian, sistem itu telah dilancarkan pada 7 Oktober 2020.

Walau bagaimanapun, Eric berkata seseorang pemain e-sukan itu perlu memohon surat sokongan daripada Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF) dan KBS sebelum memohon MyTravelPass untuk bermain di luar negara.

“Apa yang saya dimaklumkan adalah pemain e-sukan perlu mendapatkan surat sokongan MESF, kemudian surat sokongan KBS, baru boleh mohon MyTravelPass,” tambah Eric.

NothingToSay merupakan pemain profesional Dota 2 tanah air dan kini bermain untuk pasukan China, PSG.LGD.

Dia merupakan antara empat pemain Midlaner Dota 2 di dunia yang mempunyai 12,000 MMR.

Pada tahun ini sahaja NothingToSay memenangi kejohanan besar seperti OGA Dota PIT Season 5: China 2021 dan WePlay AniMajor 2021 bersama pasukannya, PSG.LGD.

Dia dan PSG.LGD juga dilihat sebagai pasukan pilihan yang akan memenangi Kejohanan Dunia The International 10 (TI10) pada 7-17 Oktober nanti di Bucharest, Romania.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM166 juta (AS$40 juta).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved