Connect with us

General

Logan pasang niat mahu jadi pemain pro Wild Rift

Published

on

Foto: Astro GO / eGG Network

KUALA LUMPUR – “Sudah ada niat. Sebenarnya memang sudah ada niat (mahu jadi pemain profesinal).”

Itu hasrat bekas pemain profesional Mobile Legends, Abdul Wandi Abdul Kadir (Logan) yang mahu kembali dalam arena kompetitif sebagai pemain profesional League of Legends : Wild Rift (Wild Rift).

Menurut Logan, dia sebenarnya sudah lama menunggu e-sukan League of Legends untuk hadir dalam versi mudah alih.

“Sebelum bermain Mobile Legends, sebenarnya saya sudah bermain League of Legends selama tiga tahun. Jadi saya sudah ada pengalaman dalam permainan itu.

“Dari dahulu lagi saya menunggu e-sukan itu hadir dalam mobile (mudah alih),” kata Logan.

Logan berkata demikian dalam rancangan Sembang Game yang disiarkan di eGG Network pada malam tadi ketika menjawab persoalan hos Jaa Suzuran, mengenai pilihannya jika diberi peluang untuk bermain secara profesional dalam permainan baharu seperti Wild Rift yang ketika ini masih dalam peringkat beta tertutup.

Logan yang ketika ini memilih untuk berehat dari arena kompetitif dan memberi tumpuan kepada bidang penstriman langsung menerusi Logan Gaming pernah mewakili Malaysia untuk beraksi di Piala Asia Tenggara Mobile Legends di Jakarta, Indonesia pada 2018 dan Sukan SEA di Manila, Filipina pada 2019.

Dalam acara Sukan SEA 2019, Logan bersama Team Bosskurr berjaya menyumbang pingat gangsa untuk negara.

Logan yang bermain Mobile Legends sejak 2017 turut menceritakan kariernya sebagai pemain kompetitif bermula di kawasan tempat letak motosikal di sebuah flat.

“Kami buat ‘pangkalan’ kami di situ.

“Makan dan tidur di kawasan itu. Pada mulanya kami ingat bermain secara suka-suka, namun kami mula merancang untuk pergi lebih jauh.

“Jadi kami tubuhkan satu pasukan yang dinamakan Traitor,” kata anak mudah Sabah itu yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di Facebook.

Selepas Traitor, Logan kemudiannya menyertai Saiyan iaitu pasukan Mobile Legends yang popular pada 2018.

Menerusi Saiyan, Logan telah beberapa kali menyertai Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL MYSG).

Saiyan yang pernah dimiliki AirAsia (AirAsia Saiyan) pada 2018 kemudiannya dijenamakan semula sebagai Team Bosskurr pada musim ketiga MPL MYSG selepas AirAsia Saiyan membuat keputusan untuk melepaskan kesemua pemain utama mereka.

Pada pertengahan tahun lalu iaitu sebelum MPL keempat bermula, Logan dan Team Bosskurr mendapat tajaan daripada platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee.

Namun pada MPL MYSG Musim Keenam kali ini menyaksikan Logan tidak kembali membuat kemunculan dalam arena kompetitif bagi e-sukan itu selepas pasukan itu membuat rombakan barisan pemain yang sangat drastik.

Dalam rancangan Sembang Game, Logan turut ditemani pemain profesional tanah air yang lain seperti pemain Dota 2, Chai Yee Fung (Mushi), pemain FIFA GBXTeam Muhamad Luqman Haziq Hajiman (Fenrir) dan pemain CSGO Ramona Azween sebagai tetamu jemputan.

Rancangan itu dibawakan khas oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Esports Integrated.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved