Wild Rift
Siapa paling power main Wild Rift?

SEPERTI tidak pernah suram arena e-sukan tanah air dengan penganjuran kejohanan demi kejohanan setakat ini.
Pada minggu ini, komuniti e-sukan bakal menjadi menyaksikan siapakah yang sebenarnya yang terbaik dalam League of Legends: Wild Rift (Wild Rift) di Malaysia menerusi Kejohanan Playoff Liga Wild Rift Malaysia Musim Panas 2021.
Kejohanan itu bakal melibatkan pertempuran lima pasukan terbaik tempatan iaitu Geek Fam, Berjaya Dragons, SEM9, Eminence Raptors dan RTZ UndeRank.

Jadual Kejohanan Playoff Wild Rift Malaysia 2021 – Foto ESL Malaysia
Kejohanan Playoff Liga Wild Rift Malaysia Musim Panas 2021 adalah sebahagian daripada acara SEA ICON Series.
SEA ICON Series merupakan kejohanan Wild Rift pertama yang diterbitkan oleh Riot Games Asia Tenggara dan liga kebangsaan di Malaysia pula dikendalikan oleh ESL Malaysia. Ia turut mendapat penajaan daripada syarikat pengeluar makanan popular, MAGGI.
ESL bersama MAGGI ingin mewujudkan peluang yang lebih banyak bagi semua pemain Wild Rift di Malaysia untuk memulakan perjalanan mereka dalam arena e-sukan dan menjadi pemain terkemuka di rantau ini.
Pemenang SEA ICON Series akan dinobatkan sebagai pasukan terhebat di Malaysia dan akan melayakkan diri ke Piala Super Musim Panas 2021 untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik Asia Tenggara.
Anda boleh tonton secara langsung kejohanan Playoff Liga Wild Rift Malaysia Musim Panas 2021 di Facebook dan YouTube ESL Malaysia di sepanjang 4-6 Jun bermula jam 3 petang.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM60,000 secara keseluruhan.