Free Fire
Jerung Biru baham Geek Fam dahului ranking dengan 5 Booyah

PASUKAN Free Fire tempatan, Argon MY, menunjukkan taringnya tersendiri apabila menunjukkan satu kebangkitan luar biasa dalam Kejohanan Siri Cabaran Free Fire 2021.
Pada hari pertama minggu kedua, skuad yang dikenali sebagai Jerung Biru itu berjaya naik ke ranking pertama liga dengan catatan 154 mata setakat ini.
Ia sekaligus dilihat sebagai satu prestasi yang luar biasa daripada Argon MY apabila pasukan itu hanya berada di tangga kelima di peringkat liga pada minggu lalu.
Pada semalam, Argon MY juga dilihat tidak perlu menunggu lama untuk ‘memanaskan enjin’ apabila berjaya mengutip satu Booyah dalam peta pertama yang disertainya, Kalahari .
Gigi Jerung Biru itu dilihat tidak pernah tumpul, apabila berjaya mengutip satu lagi kemenangan penting dalam peta kedua yang dimainkan, iaitu di Purgatory.
Meski tidak beraksi baik dalam dua pusingan yang seterusnya, Argon MY tetap berjaya mengatasi pendahulu liga, Geek Fam dengan jurang mata yang agak selesa iaitu kelebihan 18 mata di hadapan.
Pasukan itu juga mempunyai kutipan Booyah yang paling banyak, iaitu sebanyak lima kali.
Berikut adalah senarai pemain Argon MY ketika ini:
- Muhammad Yaser Naim Ismail (Spark) -IGL
- Muhammad Aiman Ajwad Abdul Sani (Pydro)
- Mohamad Afiq Mohd Zulfikar Ishraff (Afiqz)
- Muhammad Nur Hilmi Khairi (Chill)
- Muhammad Hafiz Azizan (Arabic)
Kejohanan Siri Cabaran Free Fire 2021 akan kembali untuk saingan hari kedua minggu kedua jam lapan malam nanti.
Ia boleh ditonton secara langsung menerusi platform Facebook Garena Free Fire dan Youtube Garena Free Fire MY.
Kejohanan yang menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM125,000 akan diadakan sehingga Februari nanti.