Connect with us

Free Fire

Blacklist International kutip 3 Booyah , Argon MY masih Top 1

Published

on

Foto: YouTube / Free Fire

BLACKLIST International tampil garang dalam kejohanan Siri Cabaran Free Fire Malaysia 2022 apabila meraih tiga Booyah berturut-turut pada malam tadi.

Kemenangan pertama Booyah Blacklist International berjaya dilakukan apabila pasukan itu mengetepikan pasukan tumpuan, Geek Fam  pada pusingan ketiga dengan kutipan 12 mata bunuh. Bayfront menjadi saksi bagi aksi cemerlang pasukan itu.

Booyah kedua yang diraih pada pusingan keempat berjaya melonjakkan Blacklist International di kedudukan kedua keseluruhan liga.

Pasukan Hitam Putih itu sekaligus mengetepikan pesaing terdekat liga, Geek Fam, di kedudukan ketiga dengan perbezaan sembilan mata selepas tamat pusingan keempat.

Pendekatan untuk bermain secara pasif pada pusingan kelima Bermuda memberikan kelebihan buat Blacklist International selepas percaturan posisi dan mekanik untuk memanfaatkan penguasaan kawasan Factory.

Hasilnya, pasukan itu berjaya mendapatkan Booyah ketiga dalam masa satu hari sahaja selepas menumpaskan Team Princess pada pusingan kelima yang berlangsung di Bermuda.

Namun, momentum pasukan Blacklist International untuk melengkapkan hari cemerlang mereka dengan empat Booyah tidak kesampaian apabila pasukan itu disingkirkan Freedom Rumble MY pada pusingan akhir.

Blacklist International hanya mampu berpuas hati berada di kedudukan kelapan tanpa sebarang mata bunuh dalam pusingan itu.

Setakat ini, Blacklist International berjaya mengumpul 201 mata bagi merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Argon MY yang mempunyai 204 mata ketika ini.

Kejohanan Siri Cabaran Free Fire 2022 menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM125,000 dan melibatkan pertarungan 18 pasukan terbaik Malaysia.

Ia boleh ditonton secara langsung menerusi platform Facebook Garena Free Fire dan Youtube Garena Free Fire MY pada setiap hari Sabtu dan Ahad, bermula jam 8 malam.

 

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved