Connect with us

DOTA 2

#MeetOG: Ini sebab OG pilih Malaysia sebagai lokasi bootcamp

Published

on

Pasukan Dota 2 terkemuka dunia, OG, menghadiri sesi tayangan eksklusif dokumentari Against The Odds di Sunway University, Subang Jaya. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

SUBANG JAYA – Juara The International edisi lepas, OG memilih Malaysia sebagai destinasi latihan bootcamp bagi persiapan terakhir pasukan itu untuk menghadapi saingan kejohanan dunia The International 9 di Shanghai, China pertengahan bulan ini.

Kapten OG Johan Sundstein (N0tail) berkata faktor utama mengapa Malaysia sebagai destinasi pilihan adalah berikutan jaringan internet dan persamaan zon waktu dengan Shanghai.

“Malaysia adalah pilihan yang terbaik buat kami ketika ini dari segi kemudahan serba lengkap seperti keperluan tempat penginapan dan jaringan internet yang sangat baik.

“Namun faktor paling utama adalah berikutan Malaysia berkongsikan zon waktu yang sama dengan Shanghai.

“Lantaran itu, Malaysia mempunyai kelebihan di situ untuk kami membiasakan diri (sebelum ke kejohanan) seperti yang kami lakukan di Kanada (lokasi The International 8) sebelum ini,” kata N0tail.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media tayangan eksklusif dokumentari perjalanan OG sebelum bergelar juara dunia, Against The Odds, anjuran Red Bull Eropah yang berlangsung di Auditoriam JC 3, Sunway University, di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah pemain-pemain OG yang lain, iaitu Anathan Pham (ana), Topias Taavitsainen (Topson), Sébastien Debs (Ceb) dan Jesse Vainikka (JerAx).

Sementara itu, Jerax turut senada dengan N0tail mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi untuk melakukan latihan bootcamp.

Jelasnya juga, beliau turut berkesempatan mempelajari mengupas durian baru-baru ini.

“Persekitaran dan cuaca yang sangat baik di Malaysia juga sesuai untuk melakukan latihan bootcamp. Setakat ini saya menyifatkan Malaysia memang sangat bagus.

“Kami juga sempat mempelajari dan menyahut cabaran mengupas buah durian dan kami menyukainya,” kata Jerax sambil tertawa kecil.

Pada kejohanan The International 2018, OG muncul juara selepas mengalahkan pasukan China PSG.LGD 3-2 pada grand final dan membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM42 juta.

Bagi anda yang mahu menonton dokumentari Against The Odds boleh layari laman web Redbull.com!

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved