Connect with us

DOTA 2

Dota 2: Momentum Kenchi ditagih skuad negara

Faizal Ramli merungkai mengapa momentum kejayaan yang dimiliki Kenchi Yap ketika ini harus dieksploitasi sepenuhnya oleh kontinjen negara.

Published

on

Kenchi (berdiri) bersama pemain legenda tanah air, Mushi dalam satu kejohanan Dota 2 - Foto Facebook / Kenchi Yap

YAP CHEE LEONG atau Kenchi Yap baru-baru ini terpilih sebagai jurulatih skuad Dota 2 negara bagi menghadapi saingan Sukan SEA 2019 di Filipina hujung tahun ini.

Pemilihan ini dibuat oleh badan induk Persatuan E-sukan Malaysia (ESM) bersama pengurus atlet e-sukan negara, Firdaus Hashim atau MasterRamen.

Selain Kenchi, Ahmad Syazwan (ADTR) dan Adam Shah (Adam atau 343) juga telah disenarai pendek sebelum keputusan muktamad dibuat.

Keputusan ini dilihat sebagai satu lantikan yang tepat bagi pasukan Dota 2 negara melihat dari sudut rekod Kenchi sebagai jurulatih berbanding dua calon yang lain.

Kita tidak boleh menafikan bahawa ADTR sangat bagus sebagai pemain tetapi aksinya sebagai jurulatih sejak kebelakangan ini kurang memberi keputusan yang positif.

Lain pula bagi Adam, kariernya sebagai jurulatih Fnatic boleh diberikan kredit. Beliau mula menjadi jurulatih di penghujung tahun 2017 sehingga Mei 2018. 

Rekodnya membawa Fnatic ke perlawanan akhir dalam kejohanan DOTA Summit 8 dan DreamLeague Season 9 harus diberikan pujian.

Dia kembali aktif menjadi pemain untuk beberapa pasukan dan terkini bersama sebuah pasukan di Amerika Syarikat, Complexity Gaming.

Sejak beliau mengambil keputusan meninggalkan Fnatic, tahap pencapaiannya kurang memberangsangkan dan ESM melihat ini sebagai satu risiko untuk kontinjen negara.

Kurang dari empat bulan sahaja lagi Sukan SEA akan membuka gelanggang, semestinya MasterRamen memerlukan seorang individu yang berpotensi dan mempunyai momentum yang tinggi ketika ini. Di sinilah terletaknya kekuatan Kenchi.

Persamaan ketiga-tiga calon terakhir ini mempunyai satu laluan karier yang sama iaitu pernah menjadi jurulatih Fnatic tetapi hanya Kenchi sahaja yang berjaya membawa pasukan meraih tempat ke-empat dalam kejohanan dunia The International 6.

Seperti yang sedia maklum, Kenchi juga merupakan Pengarah Pengurusan Mineski Malaysia dari tahun 2009 sehingga sekarang.

Pada awal tahun ini, Kenchi kembali menjadi jurulatih Mineski selepas Aaron Kim (Clairvoyance) meninggalkan pasukan.

Pada bulan April, beliau berjaya membawa pasukan ke pentas akhir pertamanya sebagai jurulatih di kejohanan ESL Mumbai sebelum tempatnya digantikan oleh jurulatih dari China, Tang Wenyi (71).

Sekali lagi dia meletakkan dirinya sebagai jurulatih apabila 71 meninggalkan pasukan dan hasilnya Mineski menjuarai kelayakan utama The International 9 rantau Asia Tenggara dan menjadi jurulatih tunggal dari Malaysia di kejohanan itu.

Momentum kejayaan yang dimilikinya ketika ini harus dieksploitasi sepenuhnya oleh kontinjen negara.

Setelah dinilai dari segi pencapaian, potensi dan beberapa aspek dalaman yang lain, nyata pemilihan Kenchi ini adalah tepat bagi skuad Dota 2 negara.

Senarai penuh pemain hanya akan dikeluarkan selepas tamatnya kejohanan dunia  yang berlangsung di Shanghai bulan ini. Kenchi juga bakal dibantu oleh Ketua Jurulatih bagi skuad e-sukan negara iaitu Ahmad Syazwan, ADTR.

*Faizal Ramli adalah wartawan latihan e-sukan. Kenyataan penulis dalam artikel ini merupakan pandangan peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan sidang pengarang What’s The Meta secara keseluruhan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved