Connect with us

DOTA 2

#MeetOG: Matchmaking Dota 2 baharu lebih bagus tapi smurf mungkin salah guna – Ana

Published

on

Pemain profesional Dota 2 bagi pasukan terkemuka dunia OG, Anathan Pram (kanan) mengulas mengenai kemas kini baharu Dota 2 dalam satu sidang media Against The Odds di Sunway University semalam. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

SUBANG JAYA – Pemain Carry bagi pasukan terkemuka OG, Anathan Pram (Ana) melihat perubahan terbaharu dalam kemas kini Dota 2 yang dilakukan Valve baru-baru ini sebagai satu perkara yang positif.

Ana berkata perubahan yang melibatkan matchmaking dalam permainan itu merupakan satu kemas kini yang sangat bagus namun ia juga mempunyai beberapa kelemahan.

“Mengenai matchmaking terbaharu, saya menyifatkan ia satu kemas kini yang bagus daripada Valve dan sudah tentunya ia akan menambah keseronokan dalam permainan ini.

“Ini perubahan yang baharu dan pemain mungkin perlu mengambil masa untuk membiasakan diri termasuk saya.

“Namun, hal ini juga akan membuka ruang kepada pemilik akaun smurf dan booster untuk menyalahgunakan perubahan terbaru ini,” kata Ana.

Ana yang merupakan juara The International edisi lepas berkata demikian dalam satu sidang media tayangan eksklusif dokumentari Against The Odds anjuran Red Bull Eropah di Sunway University yang berlangsung semalam.

BACA: Ini sebab OG pilih Malaysia sebagai lokasi bootcamp

Awal pagi semalam, Valve telah mengeluarkan satu kemas kini yang terbaharu untuk Dota 2 mengenai matchmaking.

Dalam kemas kini tersebut, Solo dan Party Ranked Match juga telah ditukar kepada Core dan Support Ranked Match. Pemain juga boleh memilih laluan (lane) sendiri.

Kemas kini itu mendapat perhatian ramai terutama peminat permainan bergenre MOBA ini.

Sementara itu, Ana berkata perubahan itu secara keseluruhannya boleh dilihat sebagai satu perkara yang positif buat peminat Dota 2.

Pada kejohanan The International 2018, Ana bersama pasukan OG muncul juara selepas mengalahkan pasukan China PSG.LGD 3-2 pada grand final dan membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM42 juta.

Selain Ana, pasukan OG terdiri daripada Johan Sundstein (N0tail), Topias Taavitsainen (Topson), Sébastien Debs (Ceb) dan Jesse Vainikka (JerAx).

Pastikan anda menonton perjalanan mereka merangkul bergelar juara dunia, Against The Odds di lawan sesawang Redbull.com!

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved