Free Fire
Free Fire: “Ku sangkakan Jerung, rupanya Todak”- Ikuto

PASUKAN Free Fire tempatan, Argon MY sekali lagi menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat.
Pasukan yang kini bermain dalam Siri Cabaran Free Fire Malaysia (FFCM) 2022 itu kini lebih dikaitkan dengan organisasi e-sukan Todak.
Pada semalam, Pengurus Pembangunan E-Sukan Todak, Radzi Rahman (Ikuto) ada memuat naik status di Facebook yang menyatakan: “Dalam lautan ada banyak ikan. Ku sangkakan Jerung rupanya Todak.”
Status itu seolah-olah memberi bayangan yang Todak mahu meluaskan lagi skuad e-sukan di bawah naungannya, menerusi pasukan Free Fire, Argon MY.
Dalam kalangan komuniti Free Fire, Argon MY sinonim dengan gelaran Jerung Biru kerana logonya.
Pada 7 Januari lalu, Todak ada mengumumkan bahawa organisasi itu mahu merekrut pasukan e-sukan FPS. Antara e-sukan yang ditawarkan adalah Free Fire, PUBG Mobile, Call Of Duty Mobile dan Sausage Man.
Todak adalah antara organisasi e-sukan terbesar di Malaysia.
Organisasi itu kini memiliki pasukan daripada lima e-sukan yang berbeza. Antaranya, pasukan Todak Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Todak Valorant, Todak PUBG Mobile, Todak Dota 2 dan Todak Wild Rift.
Todak juga telah banyak melahirkan pemain berkualiti tinggi seperti Muhammad Danial (Ciku), Zikry Shamsuddin (Moon) yang berjaya mara ke peringkat kejohanan dunia Mobile Legends selama tiga tahun berturut-turut.
Selain Todak, TheFarang Esports juga ada menunjukkan minat untuk melakukan kerjasama dengan Jerung Biru. Pengarah TheFarang, Fawwaz Sehaimi (Soultann) juga mengesahkan perkara tersebut menerusi satu temubual bersama WTM Today baru-baru ini.