DOTA 2
Dota 2: Forward Gaming ditutup

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi menjelang kejohanan berprestij The International 9, peminat Dota 2 di seluruh dunia telah dikejutkan dengan pengumuman penutupan organisasi e-sukan Forward Gaming yang berpengkalan di Amerika Syarikat mulai hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forward Gaming, David Dashtoyan membuat pengumuman rasmi itu dalam satu kicauan di laman Twitter rasmi beliau.
Dalam kenyataan itu beliau memohon maaf atas penutupan organisasi itu gara-gara gagal membayar hutang gaji pemain dan kos operasi yang dianggarkan kira-kira RM148,000 ($36,000).
Dia berkata lagi pada bulan Jun, pemain sudah diberitahu mengenai situasi kewangan pasukan berkenaan dan mengharapkan isu ini akan selesai selepas berakhirnya kelayakan utama The International.
Namun ternyata sangkaannya meleset.
Dia juga mengucapkan semoga maju jaya kepada bekas pemain Forward Gaming yang akan bermain di kejohanan The International 9 yang berlangsung di Shanghai pada pertengahan Ogos ini.
Sehingga kini Valve masih mengekalkan status kelayakan bekas pemain tetapi mereka harus mencari pasukan yang baru secepat yang mungkin.
Sebelum ini Forward Gaming telah memenangi kelayakan utama rantau Amerika Utara setelah menewaskan pasukan J.Storm menerusi kemenangan 3-1 dalam perlawanan akhir.
Senarai bekas pemain Forward Gaming:
Yawar “YawaR” Hassan
Quinn “CCnC” Callahan
Jingjun “Sneyking” Wu
Arif “MSS” Anwar
Johan “pieliedie” Astrom