Connect with us

CSGO

ZOWIE DIVINA: Orange Sphynx dijangka dapat jemputan terus ke Kelayakan Asia?

Published

on

Orange Sphynx merupakan pasukan e-sukan wanita tanah air, yang dilihat aktif dalam penglibatan arena kompetitif CSGO dan tidak keterlaluan untuk melabelkan mereka sebagai pasukan CSGO wanita terbaik di Malaysia setakat ini.

PUSINGAN Kelayakan Counter Strike : Global Offensive (CSGO) Wanita ZOWIE DIVINA peringkat Asia Tenggara yang kini sedang berlangsung menerusi dalam talian, menyaksikan penyertaan daripada 15 pasukan dari pelbagai negara di rantau ini dan Asia. 

Antaranya termasuk penglibatan daripada dua pasukan tempatan iaitu MBT.Baeters dan 1Percent.Sucre.

BACA: ZOWIE DIVINA: MBT. Baeters semakin hampir ke China

Melihat kepada nama-nama pasukan yang menyertai kelayakan peringkat Asia Tenggara tersebut, menimbulkan persoalan apabila salah sebuah pasukan tempatan yang dilihat antara terbaik di rantau ini, Orange Sphynx tidak menyertai pusingan kelayakan itu.

Orange Sphynx merupakan pasukan e-sukan wanita tanah air, yang dilihat aktif dalam penglibatan arena kompetitif CSGO dan tidak keterlaluan untuk melabelkan mereka sebagai pasukan CSGO wanita terbaik di Malaysia setakat ini.

Pada awal Mac lalu, mereka memenangi kejohanan peringkat Asia Tenggara, Rise of Legion CSGO: Lady (Online).

Pada akhir Januari lalu pula mereka berjaya ke peringkat suku akhir Kejohanan Intel Challenge IEM bagi kelayakan Asia.

Sementara itu pada tahun lepas, Orange Sphynx berjaya mewakili Malaysia dan menyumbangkan pingat gangsa untuk negara bagi Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Peringkat Asia Tenggara.

BACA: Orange Esports umum kolaborasi bersama pasukan CSGO wanita Sphynx MY

Berikutan pencapaian yang diperoleh itu, tidak mustahil jika Orange Sphynx terpilih sebagai antara pasukan yang mendapat jemputan terus ke kejohanan Asia itu bersama tiga lagi pasukan lain.

Penulis turut menjangkakan pasukan Filipina yang merupakan juara WESG Asia Tenggara tahun lalu, ArkAngel dan pasukan Singapura Phoenix bakal menerima jemputan terus ke kejohanan peringkat Asia itu.

Persoalan sama ada Orange Sphynx akan mendapat jemputan terus ke Kejohanan Asia CSGO Wanita ZOWIE DIVINA akan terjawab dalam masa beberapa hari ini selepas pusingan kelayakan Asia Tenggara berakhir.

“Kami akan mengumumkan senarai pasukan yang mendapat jemputan terus pada minggu hadapan bersama-sama dengan pengumuman pemenang untuk pusingan kelayakan Asia Tenggara,” kata penganjur, ZOWIE DIVINA ketika dihubungi WTM Today.

Kejohanan Asia CSGO Wanita ZOWIE DIVINA bakal diadakan di Shanghai, China pada 20 sehingga 23 Jun nanti dan bakal disertai lapan pasukan terbaik di rantau itu.

Dua pasukan teratas bagi Kejohanan Asia CSGO Wanita ZOWIE DIVINA bakal ke kejohanan utama Dreamhack Showdown pada 5 hingga 7 Julai depan di Valencia, Sepanyol yang bakal disertai pasukan-pasukan CSGO wanita terbaik dunia.

Dreamhack Showdown merupakan satu kejohanan e-sukan yang meraikan pemain-pemain wanita dari seluruh dunia dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved