Connect with us

CSGO

WeBaeters kini sertai MBT, ditaja Cooler Master, ASUS

Published

on

MBT.Baeters terdiri daripada pemain-pemain yang berbakat besar. Dari kiri cmy., FИИY, LX_ying, Miran dan J4P4N.

KUALA LUMPUR – Pasukan Counter Strike : Global Offensive (CSGO) wanita tanah air yang baharu sahaja layak ke Kejohanan ZOWIE DIVINA CSGO Asia 2019, WeBaeters kini dijenamakan semula sebagai MBT.Baeters selepas menyertai organisasi e-sukan MBT.

Ahli Majlis MBT, Kiri Kaniathran berkata pemilihan MBT.Baeters itu adalah berikutan potensi dan kejayaan yang diraih pasukan itu pada tahun lalu.

“Mereka raih tempat kedua dalam Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Peringkat Malaysia 2018 dan menjadi Finalis Kejohanan E-Sukan Wanita Asia (FEAR) Asia Tenggara 2018.

“Kami dapat melihat potensi yang besar dalam pasukan MBT.Baeters dan kami yakin perjalanan mereka baru sahaja bermula. Banyak lagi kejayaan yang akan diperoleh dan dikecapi bersama MBT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, MBT.Baeters dalam satu kenyataan yang sama berkata penyertaan mereka dalam MBT merupakan satu langkah ke hadapan dalam arena CSGO.

“Kemenangan untuk layak ke Kejohanan ZOWIE DIVINA CSGO Asia 2019 memang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. 

“Kami sangat bersyukur dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan yang telah diberikan sepanjang perjalanan kami dalam arena ini,” katanya.

MBT.Baeters terdiri daripada pemain-pemain yang berbakat besar iaitu:

  • Nurizzatul Aisyah Zainuddin (J4P4N)
  • Fatin Nadiah Noor Yazan (FИИY)
  • Lye Xue Ying (LX_ying)
  • Fatin Athira Azlan (Miran)
  • Eunice Chin Mei Yee (cmy.)

Mereka sebelum ini memulakan perjalanan arena kompetitif CSGO bagi tahun ini  dengan baik apabila berjaya mara ke suku akhir Kelayakan Asia Intel Extreme Masters (IEM) Katowice pada Februari lalu.

BACA: We.Baeters sasar Top 3 wanita Asia

Kini mereka bakal ke Shanghai, China pada 20 sehingga 23 Jun nanti bagi berentap dengan lapan pasukan CSCO Wanita terbaik di rantau Asia, untuk mendapatkan slot ke kejohanan utama Dreamhack Showdown.

Dreamhack Showdown merupakan satu kejohanan e-sukan yang meraikan pemain-pemain wanita dari seluruh dunia dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000.

Ia bakal berlangsung di Valencia, Spain pada 5 sehingga 7 Julai depan.

Berikutan penyertaan MBT.Baeters dalam organisasi MBT, mereka akan mendapat tajaan daripada Cooler Master, ASUS Republic of Gamers dan Emarque.

Pemain MBT.Baeters Fatin Athira Azlan mengayakan fon kepala MH752 Gaming Headset daripada Cooler Master

MBT.Baeters merupakan pasukan e-sukan kedua wanita dalam MBT, selepas sebelum ini organisasi tersebut menubuhkan MBT Valkyrie, pasukan Overwatch Wanita yang pertama di Malaysia.

Ditubuhkan sejak 2006 dan MBT merupakan organisasi e-sukan yang ditubuhkan dengan semangat komuniti dan persaudaraan dalam dunia permainan video.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved