CSGO
Kaze,ViCi Gaming menang Grand Final Liga Perfect World Asia Musim Luruh 2020

PEMAIN Profesional Counter-Strike: Global Offensive (CSGO) tanah air Andrew Khong (Kaze) dan pasukannya ViCi Gaming menjuarai Liga Perfect World Asia Musim Luruh 2020.
Kaze dan ViCi Gaming memperoleh kejuaraan itu selepas menewaskan pasukan Mongolia Tiger 2-0 menerusi peta Train dan Inferno pada Grand Final yang berlangsung pada Ahad malam.
Jelas Kaze, kemenangan itu sememangnya memberi berita gembira untuk dirinya dan rakan-rakan sepasukannya.
“Kami memang sangat teruja dan mempunyai motivasi yang tinggi dengan kemenangan ini selepas berjaya memusnahkan “sumpahan” hanya mampu berada di tempat kedua.
“Kini, kami menjadi juara,” kata Kaze ketika dihubungi WTM Today seketika tadi.
Menerusi kemenangan itu juga, Kaze dan pasukannya yang berpangkalan di China itu membawa pulang kira-kira RM100,000 (AS$25,000).
Pecah badi rekod kalah 0-13 dengan TYLOO
Menurut Kaze, ViCi Gaming juga berjaya ‘memecahkan badi’ pasukannya apabila mengalahkan musuh ketat TYLOO pada perlawanan lower bracket semalam.
Sebelum ini, rekod kekalahan ViCi Gaming menentang TYLOO adalah 0-13.
“Selepas tewas berturut-turut dalam 13 siri perlawanan, akhirnya kami berjaya menewaskan mereka. AKHIRNYA!
“Kami mengalahkan TYLOO sehingga mereka terpaksa jatuh ke peringkat lower bracket dan ia seterusnya melahirkan keyakinan kepada kami untuk mara ke Grand Final untuk merangkul gelaran juara,” tambah Kaze.
Selain Kaze, ViCi Gaming terdiri daripada Liang Zhuo (advent), Zhong Weijie (Zhoking), Liu Zhihong (Auman), dan Yang Yi (JamYoung).