Connect with us

CSGO

ZOWIE DIVINA: Kami akan buat yang terbaik untuk negara – Ramona

Published

on

Ramona Azween merupakan antara pemain CSGO yang telah lama terlibat dalam arena kompetitif e-sukan itu, melebihi 15 tahun. Dia kini memimpin pasukan wanita Orange Sphynx - Foto Facebook / Ramona Azween

KUALA LUMPUR – Pemain profesional Counter Strike : Global Offensive (CSGO) bagi pasukan Orange Sphynx, Ramona Azween berhasrat untuk memberikan yang terbaik untuk negara dalam kejohanan ZOWIE DIVINA Asia.

Ramona yang juga merupakan kapten Orange Sphynx berkata dia mengharapkan supaya orang ramai dapat memberikan sokongan kepada pasukannya itu.

“Kami mendapat jemputan ke Shanghai, China pada 20 sehingga 23 Jun nanti untuk Kejohanan CSGO Asia Wanita ZOWIE DIVINA.

“Seharapnya dapat menyokong kami dalam perjuangan ini dan kami akan berikan yang terbaik, bukan untuk diri kami sahaja tetapi untuk negara,” kata Ramona dalam satu ciapan pada malam tadi.

Sebelum ini, pihak penganjur ZOWIE DIVINA mengumumkan Orange Sphynx sebagai pasukan pertama yang dijemput ke kejohanan peringkat Asia itu.

Menurut ZOWIE DIVINA, pemilihan itu berikutan prestasi Orange Sphynx dalam kejohanan Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Peringkat Asia Tenggara pada tahun lalu.

“Mereka dilihat sebagai salah sebuah pasukan pilihan untuk ke Dreamhack Showdown yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol,” kata ZOWIE DIVINA.

BACA: Orange Sphynx sah ke ZOWIE DIVINA Asia

Kejohanan Asia CSGO Wanita ZOWIE DIVINA bakal diadakan di Shanghai, China pada 20 sehingga 23 Jun nanti bakal disertai lapan pasukan terbaik di rantau itu.

Selain Orange Sphynx, satu lagi pasukan tempatan MBT.Baeters turut bakal beraksi di kejohanan itu selepas beraksi dengan baik dalam pusingan kelayakan Asia Tenggara baru-baru ini.

BACA: “Tahniah! Orange Sphynx sememangnya ikon wanita e-sukan tempatan!” – Syed Saddiq

Dua pasukan teratas bagi Kejohanan Asia CSGO Wanita ZOWIE DIVINA bakal ke kejohanan utama Dreamhack Showdown pada 5 hingga 7 Julai depan di Valencia, Sepanyol yang bakal disertai pasukan-pasukan CSGO wanita terbaik dunia.

Dreamhack Showdown merupakan satu kejohanan e-sukan yang meraikan pemain-pemain wanita dari seluruh dunia dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000.

Orange Sphynx yang ditubuhkan sejak November 2017, boleh dilihat sebagai pasukan CSGO wanita terbaik di Malaysia setakat ini.

Orange Sphynx terdiri daripada gabungan pemain veteran dan pemain-pemain muda yang berbakat besar:

  • Kapten – Ramona Azween (GFi#)
  • Aisya Sabrina Binti Sabri (Argent)
  • Iffah Nazurah Saidi (3ve)
  • Jasmine Christina Sim Huiyan (Jazminism)
  • Shanice Choo Xin Ru (Alaska)

Pada awal Mac lalu, mereka memenangi kejohanan peringkat Asia Tenggara, Rise of Legion CSGO: Lady (Online).

Pada akhir Januari lalu pula mereka berjaya ke peringkat suku akhir Kejohanan Intel Challenge IEM bagi kelayakan Asia.

Sementara itu pada tahun lepas, Orange Sphynx berjaya mewakili Malaysia dan menyumbangkan pingat gangsa untuk negara bagi Kejohanan WESG Asia Tenggara.

Pada April lalu, organisasi e-sukan organisasi e-sukan Orange Esports mengumumkan kolaborasi terbaharu mereka bersama Sphynx, dan dijenamakan semula sebagai Orange Sphynx.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved