Connect with us

CSGO

#WESGSEA2019: “Saya akui, memang sedih dan susah untuk lawan menentang negara sendiri” – Blizzter

Published

on

Tiada kontrak, tiada gaji. Rising 5 adalah kombinasi pemain Indonesia dan Singapura yang mempunyai satu destinasi yang sama dalam arena kompetitif e-sukan CSGO. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

MEMANG berbaur perasannya apabila terpaksa menentang pasukan tanah air sendiri. 

Pemain kompetitif CSGO Indonesia, Victoria Irwin (Blizzter) akui, memang sukar dan sedih apabila bertembung dengan pasukan senegara pada Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Asia Tenggara baru-baru ini.

“Saya sentiasa berdoa kepada Tuhan kerana saya mahukan kejuaraan ini. Saya sangat, sangat mahukannya kerana sudah 3 tahun saya menunggu kemenangan ini.

“Saya mahu memenangi kejuaraan ini bersama rakan-rakan sepasukan Indonesia, Celestè, namun dengan drama yang berlaku pada tahun lalu memang memeritkan hati.

“Ramai tidak tahu cerita penuh dan memilih untuk bergosip, mengata di belakang kami. Kami tidak mahu membalas balik dan memilih untuk terus berlatih, berlatih dan berlatih kerana kami tahu akan berjumpa dengan mereka dalam kejohanan,” kata Blizzter kepada What’s The Meta.

Selepas beberapa tahun bersama pasukan Indonesia, Blizzter membuat keputusan untuk bersama pasukan yang berpangkalan di Singapura, Rising 5 yang baru-baru ini menjuarai kategori CSGO Wanita WESG Asia Tenggara.

Menerusi kemenangan itu, Blizzter dan Rising 5 membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM31,000.

Blizzter juga berkata kemenangannya seperti mimpi kerana perlawanan Grand Final menentang pasukan Indonesia itu memang sangat sengit.

“Kami agak sedih apabila tewas pada peta pertama tapi kami percaya dengan keajaiban dan dalam CSGO, keadaan boleh berada di luar jangkaan,” katanya.

Pada Grand Final itu menyaksikan Rising 5 menewaskan pasukan Indonesia (Celestè) 2-1 dalam format Best of 3.

Rising 5 terdiri daripada 3 pemain Singapura dan 2 orang pemain Indonesia termasuk Blizzter.

Selain Blizzter, Rising 5 terdiri daripada Nurlelawati Hussain (Alel), Tasha Chew (Aurelle), Michelle Lim (Mich) dan Nabila Sulthana (Nabbsky).

“Rising 5 merupakan kombinasi antara pemain Singapura dan Indonesia. Kami tidak mempunyai kontrak atau gaji namun setiap daripada kami komited dengan destinasi yang sama.

“Pada mulanya ia sedikit sukar untuk berkomunikasi, tapi lama-lama kami mula rapat dan mula memahami antara satu sama lain,” jelasnya.

Blizzter dan Rising 5 akan kembali ke Malaysia pada Januari tahun depan, bagi mengharungi Kelayakan Asia Pasifik sebelum layak ke pentas dunia WESG.

Kejohanan WESG Asia Tenggara dibawakan oleh Agrimind dan Alisports dan turut menyaksikan syarikat penerbangan AirAsia sebagai sebagai rakan penerbangan rasmi.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved