Connect with us

SUKAN SEA 2019

#SukanSEA2019: ESM tidak sembunyikan apa-apa – Ramen

Published

on

MasterRamen (gambar) menegaskan pihak ESM memang tiada apa-apa yang perlu disorok dan senarai pendek jurulatih juga telah dibentangkan. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR –  Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan dalam proses pemilihan jurulatih kata Pengurus atlet e-sukan ke Sukan SEA 2019, Firdaus Hashim (MasterRamen).

MasterRamen berkata satu jawatankuasa e-sukan telah pun dibentuk untuk menilai setiap senarai pendek calon-calon bagi setiap acara yang dipertandingkan.

“Terdapat tiga individu yang telah disenarai pendek untuk menjadi jurulatih Dota 2 iaitu Ahmad Syazwan Anuar (ADTR), Adam Shah dan Yap Chee Loong (Kenchi).

“Dari segi pencapaian bagi kategori jurulatih, hanya Kenchi sahaja yang berjaya meraih tempat keempat dalam kejohanan dunia ketika melatih Fnatic.

“Beliau juga merupakan jurulatih Mineski ketika ini dan satu-satunya jurulatih dari Malaysia dalam The International 9. Ia satu perkara yang kurang cerdik jika tidak memilih Kenchi untuk melatih pasukan kebangsaan,” kata MasterRamen dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan penggiat e-sukan tanah air, Teng Dawei (Xero) mengenai proses pemilihan individu-individu berkenaan dilakukan untuk menjadi jurulatih.

Xero berkata ESM sepatutnya lebih telus dan terbuka mengenai proses pemilihan tersebut.

Sementara itu, MasterRamen menegaskan pihak ESM memang tiada apa-apa yang perlu disorok dan senarai pendek jurulatih juga telah dibentangkan kepada pihak media dan pemain-pemain dalam satu taklimat.

Pada minggu lalu, ESM mengumumkan senarai jurulatih bagi pasukan e-sukan Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Barisan jurulatih itu akan diketuai ADTR , dan akan dibantu Goh Wee Thean (Arena of Valor), Kenchi Dota 2, Mohd Amirul Aiman Mohammad Kamal (MLBB) dan Ahmad Tarmizi Fozi (Tekken 7).

Sementara itu, pemilihan jurulatih bagi kategori Hearthstone dan Starcraft II akan diumumkan kelak.

Acara e-sukan dalam temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina akan berlangsung pada 5 sehingga 10 Disember.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved