Connect with us

SUKAN SEA 2019

#SUKANSEA2019: “ESM, bagaimana jurulatih dipilih?” – Xero

Published

on

Penggiat e-sukan tanah air, Teng Dawei (Xero) berkata ESM sepatutnya lebih telus dan terbuka mengenai proses pemilihan tersebut. - Foto Facebook /Dawei "Xero" Teng

KUALA LUMPUR – Susulan pengumuman Persatuan Sukan Elektronik (ESM) berhubung pemilihan jurulatih-jurulatih pasukan e-sukan Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina baru-baru ini, timbul persoalan bagaimanakah proses pemilihan individu-individu berkenaan dilakukan.

Penggiat e-sukan tanah air, Teng Dawei (Xero) berkata ESM sepatutnya lebih telus dan terbuka mengenai proses pemilihan tersebut.

Jelas Xero, setiap jurulatih hendaklah berpengalaman dalam e-sukan masing-masing dan perlu fokus kepada memberi analisis dalam permainan.

“Saya menyifatkan ADTR (Ahmad Syazwan Anuar) lebih sesuai menjadi jurulatih Dota dan perlu pilih orang lain untuk menggantikannya sebagai ketua jurulatih.

“Pemilihan Kenchi (Yap Chee Loong) sebagai jurulatih Dota 2 mungkin tidak sesuai memandangkan dia mungkin tidak boleh bekerjasama dengan beberapa 10 pemain yang terpilih (senarai pendek bootcamp).

“Dia juga mempunyai komitmen sepenuh masa sebagai salah satu organisasi e-sukan yang besar di rantau ini, yang membuatkan saya tertanya berapa banyak masa dia boleh berikan untuk skuad Malaysia,” kata Xero kepada What’s The Meta.

Menurutnya lagi, tanggungjawab sebagai ketua jurulatih perlu diberikan kepada seseorang yang boleh menyatukan semua yang terlibat sebagai satu skuad yang kukuh.

Sementara itu, Xero juga memuji pemilihan jurulatih bagi e-sukan AOV memandangkan Goh Wee Thean mempunyai pengalaman dalam melatih dua pasukan di rantau yang berbeza.

Xero menceburi bidang e-sukan sejak 2012 sebagai pemain kompetitif.

Selain bergelar seorang pemain, Xero juga merupakan seorang pengulas e-sukan dan editor bagi portal dotatalk.com dan redbull.com.

Xero juga berpengalaman mejadi pengurus pasukan e-sukan iaitu bagi pasukan Tigers, Team Redemption, Team High Ground dan Flower Gaming.

Dia juga pernah menjadi sebahagian daripada ahli jawatankuasa penganjur kejohanan Galaxy Battles 2.

Pada minggu lalu, ESM mengumumkan senarai jurulatih bagi pasukan e-sukan Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Barisan jurulatih itu akan diketuai ADTR , dan akan dibantu Goh Wee Thean (Arena of Valor), Kenchi Dota 2, Mohd Amirul Aiman Mohammad Kamal (MLBB) dan Ahmad Tarmizi Fozi (Tekken 7).

Sementara itu, pemilihan jurulatih bagi kategori Hearthstone dan Starcraft II akan diumumkan kelak.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved