Connect with us

Mobile Legends

#SukanSEA2019 – Mobile Legends sumbang pingat gangsa, tewas 0-2 dengan Filipina

Published

on

Pingat pertama dalam sejarah e-sukan Malaysia bagi Temasya Sukan SEA 2019 disumbangkan oleh skuad Mobile Legends. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

MANILA – Pasukan Mobile Legends : Bang Bang (Mobile Legends) tewas kepada pasukan Filipina 0-2 pada pusingan final kelompok bawah Temasya Sukan SEA 2019 seketika tadi.

Menerusi kekalahan itu, skuad Malaysia kini berada di kedudukan nombor ketiga secara keseluruhan dan menyumbang satu pingat gangsa bagi acara e-sukan Sukan SEA 2019.

Pusingan pertama: Baxia Filipina yang keras

Pada pusingan pertama, Malaysia menggunakan hero; Diggie, Lylia, Kimmy, Thamuz dan Masha.

Manakala pasukan Filipina menggunakan hero Karrie, Lolita, Baxia, Terizla dan Esmeralda.

Ketika awal perlawanan, pasukan Malaysia dilihat sangat agresif dan berjaya mendapat menara (turret) pada minit pertama dan 49 saat. Namun pada minit kedua dan 15 saat, turtle mereka dicuri pasukan Filipina.

Leixia turut mendapat double kill di bahagian laluan atas pada minit kelima dan 14 saat.

Malaysia kemudian terus mendapatkan turtle kedua dan matlamat mereka berhasil.

Namun ia seperti tidak mencukupi apabila pertahanan dan kerjasama pasukan Filipina dilihat lebih kukuh terutama penggunaan hero tank Baxia.

Ketika perlawanan berlangsung, ada satu detik perang berlaku antara 4 pemain Malaysia dan 1 pemain Filipina yang menggunakan Baxia itu.

Keempat-empat mereka gagal untuk membunuh Baxia yang ‘keras’ itu.

Filipina kemudian cuba mendapatkan Lord dan berjaya pada minit ke 11 dan 16 saat.

Selang 1 minit dan 14 saat kemudian, Filipina mengatur langkah menuju ke pangkalan Malaysia dan berjaya memusnahkan Kristal.

Pusingan Kedua : Soloz ganti Logan

Pada pusingan kedua menyaksikan detik yang ditunggu-tunggu peminat Bosskurr Gaming akhirnya apabila pemain kesayangan mereka Mohd Faris Zakaria (Soloz) membuat kemunculan pertama dalam Sukan SEA 2019.

Soloz yang menggunakan nama MAS.Zakaria menggantikan rakan seperjuangannya Abdul Wandi Abdul Kadir (Logan).

Pada pusingan ini Soloz menggunakan Selena manakala yang lain menggunakan Masha, Grock, Kimmy dan Karrie.

Sementara itu, Filipina masih menggunakan meta (strategi) Baxia, bersama hero lain iaitu X-borg, Lunox, Khufra dan Granger.

Filipina semestinya mendapat kelebihan ‘pemain keenam’ apabila Filoil Flying V Centre,  Manila, digegarkan dengan sokongan gemuruh penonton.

Meski dewan ini tidak penuh secara keseluruhan, ia sudah cukup memberi kekuatan dan semangat kepada pemain Filipina untuk menang 2-0 dalam pusingan final kelompok bawahan itu.

Penggunaan hero Baxia oleh Bata-Anon juga memang luar biasa sehingga dirangkul sebagai pemain terbaik (MVP) dalam kejohanan itu.

Dia meraih mata KDA 2/1/7 dalam perlawanan yang berlangsung selama 13 minit dan 9 saat.

Menerusi kemenangan itu, Filipina bakal bertemu dengan juara dunia e-sukan Mobile Legends iaitu Indonesia seketika nanti pada jam 7 malam bagi menentukan siapa yang akan membawa pulang pingat emas.

Sukan SEA 2019 kali ini memperkenalkan 6 acara e-sukan termasuk Mobile Legends dan menjadikan Razer, sebagai rakan e-sukan rasmi kejohanan itu.

Acara e-sukan Sukan SEA 2019 telah bermula sejak 5 Disember dan akan berakhir pada 10 Disember nanti.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved