General
“Dulu ada yang ragui saya tak boleh urus team esports”, Aiman bantu RSG menang 3 tour besar

BUKAN satu, tapi tiga acara e-sukan besar telah RSG kuasai pada penggal pertama 2021 iaitu menerusi kemenangan Liga Profesional Mobile Legends Malaysia Musim Ketujuh (MPL MY S7), Liga profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Ketiga (PMPL MYSG S3) dan Kejohanan Call of Duty Malaysia dan Singapura (CODM MYSG) 2021.
Ketika menyertai RSG pada 1 November 2020, Pengurus Operasi RSG Malaysia, Aiman Wafiy diberikan beberapa tugas:
1. Membawa skuad PUBGM RSG ke peringkat Asia Tenggara
2. Menubuhkan skuad Mobile Legends untuk RSG MY dengan sasaran Top 3
Selepas tujuh bulan, Aiman dilihat memikul tanggungjawab yang baik untuk RSG apabila mencapai ketiga-tiga kemenangan kejohanan besar itu.
Baru-baru ini skuad Mobile Legends RSG MY telah menjuarai MPL MY S7 dan menjadi pasukan pertama Malaysia ke Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC 2021).
Pada 25 April lalu, pasukan PUBG Mobile RSG bermain dengan sangat baik pada peringkat grand final PMPL MYSG S3 sehingga diangkat sebagai pemenang. Skuad PUBG Mobile juga berjaya mara ke Peringkat Akhir Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) Musim Ketiga 2021.
BACA: RSG Juara MPL Malaysia Musim Ketujuh!
“Saya gembira, tapi lebih rasa tertekan. Ada yang meragui kebolehan saya kerana saya tidak pernah mengurus mana-mana pasukan e-sukan sebelum ini.
“Namun bidang pengurusan adalah mengenai pengurusan jangkaan dan menyelesaikan masalah sepanjang perjalanan dalam e-sukan.
“Saya menyifatkan pihak pengurusan telah membuat keputusan yang baik sepanjang enam bulan ini. Ini adalah usaha bersama sebagai satu pasukan.
Jelas Aiman, sasaran RSG semestinya adalah memenangi kejohanan dunia. Walaupun ia dilihat sebagai satu objektif yang sukar dicapai, tapi pihaknya mahu berikan yang terbaik.
“Pada penggal kedua tahun ini akan ada lebih banyak peringkat kelayakan untuk mara ke tahap global.
“Kami akan merancang dengan lebih baik dan menyesuaikan diri apabila ada beberapa perkara yang tidak dapat dijalankan mengikut rancangan yang ditetapkan.
Antara kejohanan terdekat yang melibatkan RSG adalah MSC 2021 yang berlangsung pada 7 Jun nanti. Kejohanan itu juga melibatkan skuad Mobile Legends Singapura RSG.