Connect with us

DOTA 2

#TI9 : Mushi sah sertai The International 9 sebagai jurulatih

Published

on

Rombongan pasukan Mineski sempat bergambar sebelum berlepas ke Shanghai / Twitter rasmi Mineski

KUALA LUMPUR – Pemain profesional e-sukan Dota 2 tanah air, Chai Yee Fung (Mushi) akan bergandingan bersama-sama Yap Chee Leong (Kenchi Yap) sebagai jurulatih bagi pasukan Mineski untuk menghadapi kejohanan The International 9, di Shanghai, China.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Kenchi Yap yang kini bertindak sebagai jurulatih utama Mineski kepada What’s The Meta.

“Saya minta Mushi untuk membantu saya dari segi keperluan jurulatih kerana saya seorang sahaja tidak cukup (bagi Mineski) untuk pergi jauh.

“Ini penampilan sulung bagi Mushi sebagai jurulatih untuk kejohanan The International.

“Sebelum ini dia juga pernah menjadi pembantu jurulatih ketika dia bersama Fnatic pada tahun 2016 untuk kejohanan kecil, tatkala saya pada ketika itu memberi tumpuan untuk kejohanan major dan minor Dota 2,” kata Kenchi ketika dihubungi What’s The Meta.

Ini merupakan penampilan sulung Mushi sebagai jurulatih dalam kejohanan paling berprestij dalam Dota 2, yang menawarkan hadiah wang terkumpul sebagai RM133.8 juta pada tahun ini.

Beliau juga memegang rekod pemain Malaysia yang mempunyai penyertaan terbanyak dalam kejohanan dunia ini iaitu sebanyak tujuh kali penampilan.

Rekod terbaiknya dalam kejohanan itu adalah menduduki tempat ketiga The International 3 bersama pasukan Orange Esports dan tempat keempat dalam kejohanan The International 4 dan 6 bersama-sama pasukan Team DK dan Fnatic.

Pasukan Mineski dianggotai Nikolay Nikolov (Nikobaby), Damien Chok (Kpii), Ryan Jay Qui (Bimbo), Michael Ross Jr (Ninjaboogie) dan pemain sensasi negara, Kam Boon Seng (Moon).

Selain Mineski, sebanyak 18 pasukan terbaik dari seluruh dunia akan berentap dalam The International 9 yang bakal berlangsung di Mercedes-Benz Arena, Shanghai, China.

Kejohanan itu juga menyaksikan 5 pemain Malaysia akan beraksi merebut kejuaraan The International edisi kesembilan, iaitu MidOne (Team Secret), xNova (PSG.LGD), Moon (Mineski), Ah Fu (Royal Never Give Up) dan VtFaded (Chaos EC)

The International 9 bakal bermula pada 15 Ogos sehingga 25 Ogos 2019.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved