Connect with us

CSGO

#DHShowdown: Maaf kerana tersingkir terlalu awal – Orange Sphynx

Published

on

Orange Sphynx yang merupakan satu-satunya harapan negara tersingkir dari kejohanan CSGO Dreamhack Showdown pada semalam. - Foto Facebook / Orange Sphynx

“MAAF kerana tersingkir daripada kejohanan terlalu awal, kami berharap akan terus perbaiki dari segi skil individu dan sebagai satu kumpulan.”

Itu kata pasukan Counter-Strike: Global Offensive (CSGO) wanita tanah air Orange Sphynx selepas tamat perjuangan mereka dalam Kejohanan Dreamhack Showdown semalam.

Meski telah mencuba sehabis baik, Orange Sphynx terpaksa melangkah keluar dari kejohanan tersebut selepas tewas 2-0 dengan pasukan Eropah Copenhagen Flames pada perlawanan Best of 3 Peringkat Penyingkiran Kumpulan A semalam.

Pada peta pertama Overpass, Orange Sphynx dilihat mempunyai harapan untuk memberi saingan apabila mereka meraih mata pertama ketika Copenhagen Flames mendahului 2 mata di hadapan.

Namun dalam perlawanan peta pilihan Copenhagen Flames itu sememangnya tidak memberi peluang kepada Orange Sphynx untuk beraksi baik apabila mereka terus mengutip mata ke-13.

Selepas perlawanan berehat sementara, Orange Sphynx berjaya mendapat mata ke-tiga dan ke-empat.

BACA: Orange Sphynx tewas 16-2 dengan Dignitas

Jasmine Christina Sim Huiyan (Jazminism) seolah-olah telah memahami rentak permainan walaupun keadaan seperti agak terlewat. 

Pada pusingan itu, Jazminism mengawal kawasan bom dengan rapi dan  sempat mematikan 2 pemain Copenhagen Flames yang ketika itu berada di bahagian Counter Terrorist.

Awan mendung Orange Sphynx sedikit cerah selepas itu apabila Iffah Nazurah Saidi (3ve) berjaya mendapatkan Triple Kills, dan menghadiahkan mata kelima untuk pasukannya dalam peta Overpass itu.

Perlawanan kemudiannya berehat seketika berikutan bunyi siren di tempat kejohanan iaitu di, Fira València, Sepanyol. 

Selepas beberapa minit, perlawanan kembali berlangsung dan Copenhagen Flames dominasi 16 mata, dan Orange Sphynx mengumpul 6 mata.

Peta seterusnya iaitu Dust II, merupakan peta pilihan Orange Sphynx.

Ketika kejohanan ZOWIE DIVINA Asia yang lalu, peta Dust II dilihat menjadi kekuatan Orange Sphnyx apabila mereka menang 16-13 menentang pasukan Singapura Phoenix, 16-8 menentang pasukan gabungan Celeste dan Indonesia dan 16-6 menentang pasukan tanah air MBT.Baeter.

Namun, Orange Sphynx pernah tewas sekali 13-16 di tangan Phoenix pada pusingan upper bracket ZOWIE DIVINA.

Berbalik kepada Dreamhack Showdown, pada pusingan awal perlawanan Orange Sphynx dilihat mampu mendekatkan jarak dengan Copenhagen Flames dengan mata 2-4.

Namun, Orange Sphynx terpaksa meminta panggilan rehat taktikal selepas ketinggalan lima mata di belakang Copenhagen Flames.

Tamat separuh masa pertama Orange Sphynx hanya mampu mengutip 3 mata.

Selepas separuh masa kedua berlangsung, mereka mampu raih mata keempat, tetapi dilihat belum cukup kuat untuk menentang Copenhagen Flames yang seterusnya memenangi perlawanan tersebut.

Menerusi kemenangan pasukan yang berpangkalan di Denmark itu memaksa Orange Sphynx akur dengan kekalahan dan tersingkir pada awal kejohanan Dreamhack Showdown.

Melihat kepada prestasi itu, Orange Sphynx berazam untuk memperbaiki diri mereka sebagai pemain dan sebagai satu pasukan secara keseluruhan.

“Kami akan mempamerkan skil CSGO terbaik kami untuk anda. Terima kasih bagi mereka yang sentiasa bersama kami sejak awal.

“Kami berazam akan berusaha lebih keras pada masa akan datang,” kata Orange Sphynx.

Dreamhack Showdown merupakan satu kejohanan e-sukan yang meraikan pemain-pemain wanita dari seluruh dunia dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved