Connect with us

CSGO

CSGO: Kaze terharu, bangga dengan pelekat edisi Katowice

Published

on

Foto: ESL

KUALA LUMPUR – Pemain Profesional Counter-Strike: Global Offensive (CSGO) Andrew Khong (Kaze) melahirkan rasa terharu apabila namanya antara yang terpilih untuk dijadikan pelekat edisi kejohanan IEM Katowice.

Kaze berkata tidak mudah sebenarnya bagi pemain untuk mendapatkan pelekat tersendiri dalam CSGO, terutama yang melibatkan kejohanan-kejohanan besar.

“Proses untuk mendapatkan pelekat dalam CSGO memang agak sukar. Anda perlu banyak melalui pusingan kelayakan untuk mendapatkanya.

“Sebelum ini saya banyak melepasi kejohanan minor, tapi gagal untuk mendapatkanya.

“Boleh dikatakan saya sangat bangga dan lega untuk memilikinya sekarang,” katanya ketika dihubungi WTMToday.

#ICYMI: CSGO: Serangan hendap Kaze ke IEM Katowice Major

Menurut Kaze, beliau pernah memiliki koleksi pelekat CSGO tersendiri ketika bersama Flash Gaming sebelum ini tapi tidak berasakan sebagai satu pencapaian yang baik.

“Kami mendapat pelekat itu bukan kerana kami memenangi apa-apa. Hanya kerana pasukan lain tidak boleh menghadiri kejohanan kerana masalah visa dan kami menggantikan mereka.

“Sekarang ini bersama dengan Vici Gaming, saya melihatnya sebagai satu pencapaian yang besar kerana kami memilikinya hasil usaha kerja keras dan titik peluh kami,” katanya lagi.

Pelekat tersebut diperkenalkan sempena kejohanan CSGO IEM Katowice 2019 dan ditandatangani oleh Kaze sendiri.

Setakat laporan ini ditulis, harga bagi pelekat versi Katowice itu adalah RM0.60, RM2.84 bagi kategori Foil dan RM410.17 bagi kategori Gold.

50% daripada hasil jualan pelekat ini akan disumbangkan kepada Kaze dan organisasinya.

Bagi mereka yang mahu mendapatkannya boleh ke platform Steam di sini.

Kaze bersama-sama Vici Gaming sebelum ini layak ke IEM Katowice Major selepas mengalahkan pasukan Denmark, North 2-0 dalam final pusingan penentu ke kejohanan itu.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved