DOTA 2
#TI9 – Rumusan hari ketiga: OG, PSG.LGD tepati ramalan, peminat SEA berputih mata
SHANGHAI – The International 9 telah memasuki hari ketiga acara utama kejohanan yang melibatkan empat siri perlawanan.
Finalis edisi lepas, PSG.LGD dan OG menepati ramalan apabila mereka berjaya menewaskan lawan masing-masing di pusingan kedua upper bracket.
Pertembungan dua gergasi China pula iaitu PSG.LGD dan Vici Gaming berlangsung meriah dengan sorakan penonton tempatan.
Kedua-dua pasukan bermain dengan penuh berhati-hati kerana setiap kesilapan bakal membawa padah tetapi persembahan PSG.LGD dilihat lebih kemas dan tersusun berbanding lawannya untuk memenangi siri tersebut dengan mata 2-0.
Sementara itu, bekas juara dunia, OG menerima tentangan sengit daripada musuh tradisi mereka, Evil Geniuses.
Evil Geniuses mendominasi perlawanan pertama tetapi tewas dalam perlawanan kedua.
Perlawanan penentuan sangat mendebarkan apabila pemain carry Evil Geniuses, Artour Barbaev (rtz) berpeluang menggunakan Anti-Mage.
Draf hero OG yang mengutamakan kemaraan awal dan pertengahan permainan tidak mempunyai masalah menutup ruang bagi Artour untuk farm lebih lama dan hasilnya, OG memenangi perlawanan tersebut dan mara ke peringkat akhir upper bracket manakala Evil Geniuses jatuh ke lower bracket.
Terdahulu, wakil tunggal Asia Tenggara yang masih bersaing di acara utama, Mineski terpaksa tunduk kepada pendahulu Dota Pro Circuit musim ini, Team Secret 2-1 dalam satu siri perlawanan yang epik.
BACA: Team Secret menang 2-1 lawan Mineski di lower bracket
Perlawanan yang mendebarkan itu menjadi perbualan hangat warganet sehingga menjadi tular di Twitter.
Di samping itu, dalam satu lagi siri perlawanan lower bracket yang menyaksikan pasukan dari Amerika Selatan, Infamous sekali lagi membuktikan mereka bukanlah pasukan belasahan selepas berjaya menewaskan Newbee 2-1.
Pemain carry Infamous, Hector Rodriguez (K1) menunjukkan bahawa beliau layak digelar pemain kelas dunia setanding dengan pemain-pemain carry terkenal yang lain.
Bagi perkembangan pemain-pemain Malaysia yang bermain di pentas antarabangsa ini kini hanya tinggal xNova (PSG.LGD) di upper bracket dan Ah Fu (RNG) serta MidOne (Team Secret) di lower bracket selepas Moon (Mineski) tewas dalam satu perlawanan epik 1-2 kepada Team Secret.
Moon dan Mineski bagaimanapun membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM2 juta (AS$674,000) selepas menduduki kedudukan antara kesembilan hingga ke-12.
Acara utama The International 9 akan diteruskan sehingga 25 Ogos 2019 dan juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM63.4 juta ($15.2 juta).
