Connect with us

DOTA 2

#TI9 – Hari Keempat: Arus Team Liquid semakin deras, taktik Team Secret ‘bela’ Nisha dipersoal peminat

Published

on

Peminat kurang senang apabila Team Secret memilih untuk menggunakan strategi ‘membela’ Nisha (gambar) sehingga penuh slot barangnya. Mereka mahu Team Secret yang lebih agresif walaupun tanpa pemain carry. - Foto Twitch / @dota2ti

JUARA The International 7, Team Liquid semakin menghampiri untuk merangkul kejuaraan kedua selepas berjaya memenangi dua siri perlawanan pada hari ini.

Pada siri pembukaan hari ini, Team Liquid bertemu dengan pasukan underdog tuan rumah, RNG dan memenangi perlawanan pertama dengan mudah tetapi tidak dalam perlawanan kedua.

Perlawanan kedua yang memakan masa hampir 80 minit itu memperlihatkan bagaimana RNG mempertahankan highground dari dicerobohi dengan baik namun dua pemain core Team Liquid, Miracle- dan w33 berjaya membawa pasukan mereka untuk naik ke highground lalu merobohkan menara tier 3 barisan tengah serta tier 4 dan terus memecahkan Ancient tanpa menghiraukan menara tier 3 yang lain.

Selepas itu, perlawanan melibatkan ‘The Giant Killer‘, Infamous dan pendahulu Dota Pro Circuit, Team Secret berlangsung dengan meriah.

Harapan peminat seluruh dunia semestinya mahu melihat satu lagi kejutan yang bakal dilakukan oleh pasukan Amerika Selatan itu sekurang-kurangnya mengheret hingga ke perlawanan penentuan.

Pada perlawanan pertama draf hero Infamous sangat menarik dengan membawa masuk Riki untuk pertama kali di kejohanan ini dan digunakan oleh pemain midlane, Chris Luck.

Perlawanan begitu sengit namun segala-galanya berubah selepas Nisha sudah memenuhi slot barangnya dan dengan mudah Faceless Void yang digunakannya mendapat 16 kill di akhir permainan.

Pada perlawanan kedua pula semuanya mengikut perancangan Team Secret dan dilihat senang bagi mereka untuk memenanginya dan mengakhiri siri perlawanan dengan kemenangan 2-0.

Dalam kalangan peminat Dota 2 ada yang beranggapan taktik Team Secret yang ‘membela’ Nisha sehingga penuh slot barangnya sambil bermain secara pasif dilihat sesuatu yang kurang disenangi mereka kerana peminat mahukan Team Secret yang lebih agresif walaupun tanpa pemain carry.

Sementara itu pada sebelah petang, The International 9 yang berlangsung di Mercedes-Benz Arena menyaksikan Team Liquid kembali ke pentas utama dan kali ini mereka bertemu dengan juara The International 5, Evil Geniuses.

Evil Geniuses seolah-olah hilang taring ketika berdepan dengan Team Liquid yang dilihat mudah menangkis semua serangan dari mereka dan Miracle- sekali lagi menjadi faktor penting kemaraan Team Liquid ke kelompok empat terbaik.

Teka-teki pasukan yang manakah akan dinobatkan sebagai juara edisi kali ini dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM63.4 juta ($15.2 juta) akan terjawab di perlawanan akhir yang bakal berlangsung Ahad ini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved