Connect with us

FIFA

Pemain FIFA, Luqman jadi duta e-sukan syarikat hartanah IOI Properties Group

Published

on

Foto: IOI Properties

KUALA LUMPUR – Pemain profesional FIFA 21 Muhamad Luqman Haziq Hajiman dipilih sebagai duta e-sukan syarikat pemaju hartanah, IOI Properties Bhd (IOI Properties).

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran IOI Properties, Jason Tie berkata pihaknya mahu membantu golongan belia dalam membina kerjaya menerusi minat masing-masing.

“Pada kesempatan ini, kami gembira dapat membantu untuk membina asas kemahiran e-sukan yang kukuh, yang kini menjadi salah satu minat dalam kalangan belia.

“Kami menyedari akan banyak kerjaya baharu dilahirkan berikutan kepesatan teknologi dan kami ingin berada di hadapan untuk memupuk perkembangan bakat-bakat ini.

“Kami berharap Malaysia dapat melahirkan pemegang pingat emas dalam FIFA E-Piala Dunia pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Luqman bukan satu nama asing dalam dunia kompetitif FIFA tanah air.

Dia merupakan pemain Malaysia pertama yang berjaya melayakkan diri ke FIFA eChampions League di Manchester pada tahun 2019.

Pada 30 September lalu, Luqman secara rasmi telah menyertai pasukan GBX Esports Team, gabungan dua organisasi e-sukan tersohor tanah air iaitu Team Bosskur dan Gamesbond.

Orang ramai yang ingin mengetahui mengenai Luqman boleh menyertai satu sesi perkongsian yang dianjurkan IOI Properties dalam satu rancangan “Hello Luqman” pada 19 Oktober nanti.

“Dalam segmen interaksi ini, Luqman akan berkongsikan bagaimana dia berjaya mengimbangkan masa sebagai pelajar sarjana muda bidang kewangan dan juga sebagai pemain profesional e-sukan.

“Penonton boleh berinteraksi dengan Luqman dalam satu penstriman langsung nanti,” kata IOI Properties dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, IOI Properties juga akan menganjurkan kejohanan FIFA iaitu Cabaran FIFA21 IOI Esports bagi pemain-pemain untuk mengetengahkan bakat masing-masing dan merebut hadiah wang terkumpul RM10,000.

Pemain boleh menyertai dalam dua kategori segmen iaitu ‘1vs1 Online Friendlies’ pada 18, 23, 24 Oktober atau segmen ‘Challenge The Champ x Luqman’ pada 21 dan 22 Oktober nanti.

Pendaftaran Cabaran FIFA21 IOI Esports telah dibuka dan jika anda berminat boleh layari laman web IOI Properties untuk maklumat lanjut.

Live.Life! Active bersama IOI Properties!

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved