Connect with us

FIFA

#BulanSukanNegara: “Suruh pemain datang 8 pagi, tapi 11.20 pagi pun acara belum mula,” – AmTuah

Published

on

PEMAIN profesional e-sukan FIFA Nur Amirul Afandi (AmTuah) meluahkan rasa kekecewaan mengenai pengurusan penganjuran Grand Final Bulan Sukan Negara FIFA 19 yang berlangsung di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

AmTuah yang juga merupakan jurulatih pasukan e-sukan Kuala Lumpur berkata pemain terpaksa menunggu lebih tiga jam sebelum acara perlawanan bermula.

“Saya amat tidak berpuas hati dengan pengurusan acara Kejohanan Grand Final FIFA 19 dan PES 19.

“Atlet diminta menghadirkan diri seawal jam 8 pagi, namun sehingga jam 11.20 pagi, perlawanan masih belum bermula. Kejohanan dijadualkan bermula jam 10 pagi.

“Saya mohon pihak penganjur menghormati masa atlet-atlet yang hadir dari seluruh negara,” kata AmTuah ketika dihubungi What’s The Meta.

Menurutnya lagi pemain-pemain kejohanan itu diminta untuk tiba di Dewan Sri Putra Bukit Jalil sebelum jam 8 pagi bagi menghadiri upacara perasmian.

Namun AmTuah berkata pintu masuk ke dewan tersebut masih lagi tertutup pada ketika itu.

“Acara menjadi semakin tertangguh berikutan upacara perasmian pun tertangguh kerana menunggu tetamu kenamaan (VIP) untuk hadir.

“Jadi sepatutnya jadual perlawanan bermula pada jam 10 pagi untuk peringkat kumpulan namun 11.30 pagi baru bermula,” kata AmTuah.

Grand Final FIFA 19 dan PES 19 merupakan satu kejohanan sempena Bulan Sukan Negara yang menyaksikan jaguh-jaguh e-sukan dari setiap negeri bertempur untuk merebut gelaran juara kebangsaan.

Kejohanan itu dianjurkan Axis Esports dan mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved