Connect with us

CSGO

Meski ping cecah 200! We.Baeters, Team Sphynx mara suku akhir IEM Katowice Asia

Published

on

Meskipun kependaman ping mencecah sehingga 200, tidak menghalang bagi dua pasukan Counter Strike : Global Offensive (CSGO) wanita tanah air, We.Baeters dan Team Sphynx untuk beraksi dengan baik dalam Kejohanan Intel Challenge IEM bagi kelayakan Asia baru-baru ini.

Dalam kejohanan yang melibatkan negara-negara Asia dan Australia itu menyaksikan We.Baeters dan Team Sphynx berjaya mara ke suku akhir.

We.Baeters bertemu dengan pasukan Australia chicken nuggets pada peringkat awal kelayakan tersebut dan menang 1-0. Bagaimanapun, mereka terkandas di tangan juara WESG Asia Tenggara ArkAngel daripada pasukan Filipina 0-1.

Sementara itu, bagi Team Sphynx mereka membelasah pasukan Jepun, Venus, pada peringkat awal sebelum tewas di tangan juara kelayakan tersebut iaitu pasukan Carnage daripada Australia.

Sepanjang kejohanan tersebut berlangsung, mereka dikatakan terpaksa menggunakan pelayan (server) Eropah atau Amerika Syarikat berikutan peraturan ‘server-ban-pick’ yang telah ditetapkan oleh penganjur kejohanan, ESL.

Keadaan itu menyebabkan setiap pasukan dalam kelayakan tersebut terpaksa bermain dalam kependaman ping mencecah 200.

Pusingan kelayakan Asia yang berlangsung selama dua hari di atas talian itu menyaksikan Carnage muncul sebagai juara selepas mengalahkan pasukan negara jiran (gabungan Singapura-Thailand) No Chemistry pada final.

Menerusi kemenangan tersebut Carnage bakal beraksi bersama lapan lagi pasukan CSGO wanita terbaik dunia di Katowice bagi merebut hadiah wang terkumpul melebihi RM206,000 pada 28 Februari sehingga 2 Mac nanti.

We.Baeters disertai Nurizzatul Aisyah (J4P4И), 27 Eunice Chin Mei Yee (cmy.), 27, Fatin Nadiah (FИИY), 25, Lye Xueying (LX_ying), 22, Fatin Athira (Miran), 22 dan Nurul Aini (Ayumiii), 16.

Bagi Team Sphynx yang meraih tempat ketiga kejohanan WESG Asia Tenggara pada Disember lalu terdiri daripada Ramona Azween (GFi#), 30, Aisya Sabrina Sabri (Argent), 21, Iffah Nazurah Saidi (3ve), 19, Jasmine Christina Sim Huiyan (Jazminism), 24, dan Shanice Choo Xin Ru (Alaska), 19.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved