Connect with us

FIFA

FIFA19: Fenrir layak ke FGS eChampion League, rebut wang terkumpul RM1.1 juta

Published

on

Pemain kompetitif FIFA daripada pasukan Gamesbond Esports, Luqman Haziq Hajiman (Fenrir) layak ke Kejohanan FIFA Global Series (FGS) eChampions League selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan Asia Pasifik seketika tadi.

Menurut Fenrir, ia sememangnya di luar jangkaannya apabila berjaya melayakkan diri ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang terkumpul RM1.1 juta itu, memandangkan dia hampir berputus asa dengan e-sukan bola sepak itu.

“Kelakar sebenarnya sebab saya hampir berputus asa dengan FIFA berikutan format kelayakannya.

“Tapi syukur kerana berjaya melayakkan diri ke satu lagi acara FIFA 19. Terima kasih atas sokongan semua. Let’s GO!” kata Fenrir.

Kejayaan Fenrir melepasi kelayakan Asia Pasifik itu turut diraikan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Ini adalah satu berita yang hebat! Tahniah Fenrir! Sentiasa membanggakan Malaysia,” kata Syed Saddiq.

Dalam pusingan kelayakan atas talian yang berlangsung selama dua hari itu, Fenrir berjaya melepasi perlawanan peringkat kumpulan pada semalam, sebelum bermain pada pusingan penentu hari ini.

Fenrir berjaya menewaskan pemain yang mewakili kelab bola sepak Australia Melbourne City, dengan mata 2-0.

Beliau kemudiannya mengalahkan pemain Indonesia yang juga merupakan juara Liga Playstation Asia 201 Ega “Eggsy” Rahmaditya dengan mata 2-1.

Menerusi kemenangan itu, Luqman bakal ke Manchester, England pada 26-27 April depan bagi pusingan kelayakan pertama peringkat dunia kejohanan itu.

Jika Luqman berjaya meraih sekurang-kurangnya kedudukan 8 terbaik, beliau akan mara ke final eChampions League pada Mei nanti yang akan berlangsung di Madrid, Sepanyol.

eChampions League merupakan satu kejohanan yang dianjurkan oleh Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) yang menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM1.1 juta.

Juara eChampions League akan membawa pulang sekurang-kurangnya RM400,000.

Foto: Facebook / Luqman “Fenrir” Haziq

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved