Connect with us

Sukan SEA

Saya tidak benarkan keluarga mewakili saya – Syed Saddiq

Published

on

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (gambar) juga berkata abangnya Syed Abdullah tidak perlu diberi sebarang layanan istimewa pada acara Grand Final itu . - Foto Facebook / Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau tidak akan membenarkan mana-mana ahli keluarganya untuk mewakili pihaknya.

Dalam satu ciapan hari ini, Syed Saddiq berkata kehadiran abangnya pada acara Grand Final Pemilihan Atlet E-Sukan ke Sukan SEA Peringkat Kebangsaan anjuran Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) pada hujung minggu lalu bukan sebagai satu jemputan dan tidak perlu diberi layanan istimewa.

“ESM telah mengeluarkan kenyataan untuk membetulkan perkara ini.

“Dia (Syed Abdullah) datang tak dijemput tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tidak perlu sebarang layanan istimewa.

“Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakili saya. Ia salah!” kata Syed Saddiq dalam ciapan itu.

Syed Saddiq berkata demikian sebagai reaksi kepada satu ciapan pengguna Twitter @khawari1yang mempersoal kehadiran Syed Abdullah pada acara Grand Final itu.

Sebelum ini, ESM turut memuat naik gambar Syed Abdullah di Facebook dengan kapsyen: “Yang Berusaha En Syed Abdullah, brother of (abang kepada) Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan.”

Namun catatan ESM di Facebook itu telah disunting dan Syed Abdullah juga telah menafikan dia dijemput untuk menghadiri acara tersebut.

BACA: Sukan SEA: Saya tidak dijemput, hanya sekadar menonton – Syed Abdullah

Syed Abdullah berkata kehadirannya pada acara tersebut adalah hanya sekadar menonton perlawanan dan memberi sokongan kepada e-sukan.

Sementara itu, ESM turut mengeluarkan kenyataan mereka mengenai perkara tersebut.

ESM berkata Syed Abdullah memang tidak dijemput dan kehadirannya bukanlah mewakili Menteri atau Kementerian Belia dan Sukan.

“Kehadiran beliau adalah atas kapasiti peribadi sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri e-sukan.

“Sebagai contoh, sekiranya beliau hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, pihak penganjur pasti akan memberi penghormatan kepada beliau dan ahli keluarga lain yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada industri sukan tersebut,” jelas ESM.

Acara Grand Final yang berlangsung pada di Central i-City, Shah Alam, Selangor pada Jumaat dan Sabtu lalu, merupakan sebahagian daripada acara pemilihan atlet ke Sukan SEA yang bakal bertempat di Filipina nanti pada November.

Sebanyak lima acara e-sukan dipertandingkan iaitu Defence of the Ancients (Dota 2), Starcraft II, Mobile Legends : Bang Bang, Arena of Valor dan Tekken 7.

Pusingan pemilihan tersebut dianjurkan ESM dan mendapat sokongan daripada KBS dan MSN.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved