Connect with us

General

#SukanSEA2019: Memalukan, perlu henti menunding jari

Published

on

Pemerhati bebas e-sukan yang hanya mahu dikenali sebagai TPK berkata setiap apa yang berlaku sepanjang Acara Pemilihan Atlet E-sukan ke Sukan SEA 2019 memang memalukan, bukan sahaja kepada industri e-sukan tapi kepada komuniti sukan.

KUALA LUMPUR – ‘Perang dingin’ atau ‘perang saudara’ yang berlaku antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Elektronik (ESM) perlu dihentikan.

Pemerhati bebas e-sukan yang hanya mahu dikenali sebagai TPK berkata pertelingkahan terbuka antara ESM dan MSN berkenaan pengendalian Acara Pemilihan Atlet E-sukan ke Sukan SEA 2019 memang memalukan, bukan sahaja kepada industri e-sukan tapi kepada komuniti sukan.

“Lebih banyak anda menunding jari, lebih teruk kita menjadi bahan jenaka e-sukan di merata tempat.

“Kenapa anda mempunyai Whatsapp atau Telegram untuk membincangkan perkara berkenaan sebelum menjadi tular di Facebook, Twitter atau Instagram?

“Malaysia kini ‘berjaya’ menjadi kes kajian ‘Penganjuran E-Sukan Cacamarba Tahunan’ pada setiap tahun. Major All Stars pada 2015, AGES pada 2016, Redbull Coliseum pada 2017, MEC pada 2018 dan kini Acara Pemilihan Atlet E-sukan ke Sukan SEA 2019,” katanya dalam satu catatan Facebook.

TPK pernah bergiat aktif dalam industri e-sukan antara tahun 2008 sehingga 2010 sebagai orang belakang tabir dan pemain bagi kategori bola sepak dan simulasi perlumbaan.

Selepas memilih untuk bersara daripada industri e-sukan, dia kini berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Berikutan kes penganjuran e-sukan berkenaan, TPK mempersoalkan sama ada industri e-sukan mampu meyakinkan orang ramai untuk menganjurkan kejohanan berperingkat besar.

“Lupakan Piala Dunia Mobile Legends, fokus kepada teras komuniti sebelum kita mahu membida menganjurkan kejohanan antarabangsa seperti itu,” katanya ketika mengulas ‘ketegangan’ yang berlaku antara badan dan persatuan sukan yang melibatkan KBS, MSN dan ESM.

Situasi yang melibatkan KBS, MSN dan ESM dilihat semakin keruh apabila pemangku Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan mendakwa pihaknya belum menerima sebarang peruntukan daripada KBS bagi menjalankan acara pemilihan atlet e-sukan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Dakwa Ananth, meskipun peruntukan tersebut telah dijanjikan untuk disalurkan bagi acara itu namun prosesnya terlalu mengambil masa.

Keadaan tidak terus tenang bagi ESM apabila mereka memuat naik gambar kehadiran abang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman pada acara Grand Final tersebut dengan kapsyen “Yang Berusaha En Syed Abdullah, brother of (abang kepada) Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan.”

Ia sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna media sosial dan penggiat e-sukan terutamanya, mengenai kapasiti Syed Abdullah dalam menyertai acara itu.

Namun catatan ESM di Facebook itu telah pun disunting dan Syed Abdullah juga telah menafikan dia dijemput untuk menghadiri acara tersebut.

BACA: Saya tidak dijemput, hanya sekadar menonton – Syed Abdullah

Situasi tersebut turut mendapat perhatian Syed Saddiq, apabila beliau ada memuat naik ciapan balas kepada Twitter @isasukeyell  mengenai perkara tersebut.

Jelasnya perkara itu (menggunakan abangnya untuk mendapatkannya) sangat menjelekkan dan mahu tindakan segera diambil.

Dalam ciapan tersebut, Syed Saddiq juga berkata tidak hairanlah ramai peminat e-sukan mengutuk pengendalian ESM dan mahu tindakan segera diambil.

Syed Saddiq bagaimana pun memadam ciapan tersebut.

Pada Selasa lalu, MSN mengeluarkan kenyataan media sebagai reaksi kepada dakwaan Ananth.

BACA: MSN setuju salur bantuan RM750,000 tapi ESM gagal kemukakan dokumen permohonan

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pihaknya telah bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM750,000 kepada ESM bagi menjalankan acara pemilihan atlet itu di peringkat negeri dan kebangsaan.

Namun, menurut Ahmad Shapawi, pihak ESM gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk memohon peruntukan sehinggalah tamat kejohanan peringkat Kebangsaan.

Bagi mengelak kejadian yang sama berulang lagi, TPK menyarankan supaya mewujudkan satu saluran komunikasi berpusat.

“Melihat kepada situasi komunikasi dan informasi yang bertaburan seperti sedang memburu harta karun, wujudkan satu saluran komunikasi berpusat.

“Pastikan orang ramai mendapat maklumat tentang sebarang perubahan memandangkan tidak semua boleh mengubah jadual mereka dengan senang,” katanya.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved