Connect with us

General

89% tidak faham peranan KBS, MSN, ESM dalam e-sukan

Published

on

KUALA LUMPUR – Kira-kira 89 peratus daripada 1,280 peminat e-sukan tidak memahami peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) dalam industri ini.

Berdasarkan dalam satu tinjauan WTM Today pada Rabu lalu, hanya 11 peratus iaitu 128 orang yang berpendapat mereka faham mengenai ketiga-tiga badan tersebut.

Beberapa penggiat e-sukan tanah air turut memberikan pendapat berhubung perkara ini dan ada di antara mereka yang melihat dengan penglibatan kepelbagaian organisasi menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Terlalu banyak organisasi sehingga menjadi berselerak yang akhirnya menyebabkan kekeliruan orang ramai untuk mereka merujuk dan mendapatkan pengesahan dalam beberapa perkara.

“Sebelum ini saya ingatkan ESM yang perlu melakukan semua perkara (berkaitan e-sukan). Sekarang ini semakin kabur.”

“Dengan penglibatan KBS, entah, saya tidak rasa ia akan ke mana-mana,” kata Ameerah Idros, salah seorang streamer tanah air.

Sementara itu, bagi penggiat e-sukan Lew Ke Pang, dia berpendapat persatuan dan badan-badan kerajaan perlu menumpukan kepada kebajikan sosial dan inisiatif-inisiatif yang dapat memacu ekonomi tempatan melalui e-sukan.

Jelasnya, ia berikutan e-sukan pada dasarnya ditadbir dan dikawal oleh penerbit dan pembangun sebagai pemilik harta intelek bagi permainan video masing-masing. 

“Isu sebenar adalah ke mana arah tuju persatuan dan badan kerajaan yang akan membantu membangunkan industri Malaysia.

“Sebab itu rangka tindakan (blueprint) adalah penting walaupun kita tidak semestinya setuju sepenuhnya. Kerajaan dan sektor swasta akan pilih haluan yang berbeza selagi sokongan dan peruntukan jelas disediakan.

“Setakat ini, hanya Sukan SEA sahaja yang kita boleh lihat salah satu sokongan di peringkat negara oleh kerajaan. Saya percaya ramai yang akan tertanya, apa yang kita boleh jangkakan pada masa akan datang?” soal Ke Pang.

Pada Disember 2017, bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengumumkan satu unit dalam MSN bakal dibentuk bagi memberi fokus kepada pembangunan e-sukan sebagai persiapan menjelang kejohanan Asia 2022 yang akan berlangsung di Hangzhou, China.

Dalam satu petikan dalam portal berita The Sun Daily pada Disember 2017, Khairy berkata Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail akan mencari pegawai yang mahir dan berpengalaman dalam bidang sukan.

“Ketua Pengarah MSN akan mencari pegawai yang mahir dan berpengalaman yang boleh berinteraksi dengan komuniti e-sukan.

“Jika kita mahu mengejar pingat, saya difahamkan kita mempunyai atlet e-sukan bertaraf antarabangsa, jadi kita perlu dapatkan mereka untuk menyertai unit terbaharu MSN,” kata Khairy seperti dipetik dalam The Sun Daily.

Pada Januari 2015, Khairy pernah mengadakan pertemuan dengan ESM untuk memahami indusri dan komuniti tersebut.

Sementara itu, ESM dilancarkan pada 28 Januari 2015, sebagai satu badan sukan peringkat kebangsaan yang menumpukan arena kompetitif e-sukan dalam negara.

Menurut portal lowyat.net, ESM telah ditubuhkan pada Disember 2014 dengan kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Setiausaha Agung ESM pada ketika itu, Rinie Ramli dipetik lowyat.net sebagai berkata ESM mempunyai tiga peranan: Mempromosi, Membangun dan Mengawal Selia semua perkara berkaitan e-sukan di Malaysia.

Jelasnya bagi memastikan ESM memenuhi tanggungjawab itu, pihaknya telah mengenal pasti lima perkara strategik untuk dilakukan termasuk kebajikan pemain, penyeragaman, pembangunan permainan, pendidikan, dan pengiktirafan antarabangsa.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pada 9 Mei 2018, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru selepas mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri pada 2 Julai 2018.

Dalam manifesto Pakatan Harapan, iaitu Buku Harapan Membina Negara Memenuhi Harapan, bahagian Iltizam Khusus ke-5 untuk Anak Muda ada menyebut:

“Membina “stadium” e-sukan dengan infrastruktur yang lengkap bagi membantu anak muda yang berpotensi untuk memajukan diri dalam bidang terbabit.

Sementara itu di bahagian “Iltizam 1: Memastikan adanya lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang selayaknya” juga ada menyebut mengenai e-sukan, termasuk penghasilan permainan video dan bidang-bidang teknologi yang lain.

Pada Ogos 2018 iaitu selepas sebulan menjadi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq turut berkata yang beliau mengharapkan supaya Malaysia menjadi hab e-sukan Asia Tenggara.

Pada November 2018, dalam satu pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk pembangunan e-sukan.

Jelasnya, dana berkenaan akan disalurkan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

MDEC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Isu peranan KBS, MSN dan ESM baru-baru ini menjadi persoalan dalam kalangan penggiat e-sukan berikutan penganjuran Acara Pemilihan Atlet Sukan Elektronik ke Sukan SEA 2019 baru-baru ini.

BACA: Pemain veteran tarik diri kelayakan ke Sukan SEA Filipina, dakwa penganjur tidak cekap

Penganjuran acara itu menimbulkan kekecewaan dan kemarahan dalam kalangan pemain berikutan maklumat pada saat-saat akhir yang seterusnya memberi kesan kepada pengurusan pengangkutan dan penginapan pemain yang bukan menetap di Kuala Lumpur.

BACA: Komuniti Sabah lancar ‘bantuan kilat’ untuk MoonChild

Berikutan insiden itu, Ketua Penerangan ESM Muhammad Farouq Abdul Patah memohon maaf bagi pihaknya.

Selepas selesai acara Grand Final Kebangsaan, pemangku presiden ESM mendakwa pihaknya belum menerima sebarang peruntukan daripada KBS bagi menjalankan acara tersebut di peringkat negeri dan kebangsan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Elektonik Kuala Lumpur (ESKL) Hisham Darus pula berkata pihak mereka tidak mendapat arahan jelas dalam bentuk hitam dan putih sama ada dalam bentuk kewangan, sokongan bertulis dan kemudahan fasiliti daripada kementerian.

Bagaimanapun, menurut MSN mereka sebenarnya telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan peruntukan acara tersebut sebanyak RM750,000 namun ESM yang gagal mengeluarkan dokumen permohonan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved