Connect with us

General

#SukanSEA2019: MSN setuju salur bantuan RM750,000 tapi ESM gagal kemukakan dokumen permohonan

Published

on

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan peruntukan Acara Pemilihan Atlet Sukan Elektronik ke Sukan SEA 2019 peringkat negeri dan kebangsaan sebanyak RM750,000 kepada Persatuan Sukan Elektronik (ESM).

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata persetujuan tersebut telah dilakukan dalam satu mesyuarat pada 15 April lalu selepas pihak ESM telah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat meneruskan penganjuran kejohanan peringkat kebangsaan.

“Pada 6 Mac, Pemangku Setiausaha Agung ESM Saiful Azlan Ismail, telah memaklumkan kepada pihak MSN bahawa mereka akan meneruskan pemilihan peringkat kebangsaan dengan bantuan dari penaja dan rakan kongsi.

“Pihak ESM sekali lagi memohon pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MSN untuk mengadakan perbincangan mengenai status pemilihan atlet kebangsaan ke Sukan SEA. 

“Mesyuarat berkenaan telah diadakan pada 15 April di KBS. Pada mesyuarat tersebut, pihak ESM telah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat meneruskan penganjuran Kejohanan Peringkat Kebangsaan kerana ESM tidak menerima bantuan yang mencukupi dari penajaan,” kata Ahmad Shapawi dalam satu kenyataan media hari ini.

BACA: Tiada arahan jelas dalam bentuk ‘hitam dan putih’ dari KBS – ESKL

Menurutnya, dalam mesyuarat yang sama 15 April itu juga MSN telah bersetuju untuk memberikan bantuan peruntukan RM750,000 berdasarkan cadangan kepada pihak ESM sendiri termasuk proses pemilihan yang dijalankan oleh setiap persatuan negeri.

“Pihak ESM perlu mengemukakan permohonan tersebut secara rasmi beserta pecahan perbelanjaan kepada pihak MSN untuk tindakan lanjut,” kata Ahmad Shapawi.

Namun, menurut Ahmad Shapawi, pihak ESM gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk memohon peruntukan sehinggalah tamat Kejohanan Peringkat Kebangsaan.

Jelasnya, pihak MSN tidak dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada ESM kerana pihak ESM hanya mengemukakan permohonan peruntukan Penganjuran Kejohanan Peringkat Kebangsaan pada 6 Mei 2019, dua hari selepas kejohanan tersebut berlangsung dari 29 April hingga 4 Mei 2019.

“Ini menyebabkan peruntukan kewangan tidak dapat disalurkan sebelum kejohanan berlangsung,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan ESM baru-baru ini yang mendakwa mereka tidak mendapat sebarang peruntukan daripada KBS bagi melangsungkan acara pemilihan itu.

Sebelum ini Pemangku Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan berkata ESM masih belum menerima sebarang peruntukan daripada KBS bagi menjalankan acara pemilihan tersebut.

Menurut Ananth, meskipun peruntukan tersebut telah dijanjikan untuk disalurkan bagi acara itu namun prosesnya terlalu mengambil masa.

BACA: Sukan SEA: Kosong, ESM masih belum terima sebarang peruntukan daripada KBS

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata Pihak MSN hanya dapat menyalurkan peruntukan kewangan kepada persatuan sukan sekiranya persatuan sukan dapat memberi justifikasi kewangan beserta dengan pecahan perbelanjaan yang bersesuaian dengan program yang akan dilaksanakan. 

Berhati-hati mengeluarkan kenyataan

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Shapawi meminta ESM untuk berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Sebagai sebuah badan sukan yang muda, sepatutnya ESM menumpukan usaha meningkatkan jaringan kerjasama dengan semua pemain industri e-sukan.

“ESM sepatutnya bersyukur atas usaha kerajaan mengiktiraf sukan mereka sebagai salah sebuah sukan baru yang agak penting dalam arus pembangunan sukan negara,” tambahnya.

Sejak April lalu, telah berlangsung sesi pemlihan atlet acara pemilihan atlet ke Sukan SEA yang bakal bertempat di Filipina nanti pada November.

Sebanyak lima acara e-sukan dipertandingkan iaitu Defence of the Ancients (Dota 2), Starcraft II, Mobile Legends : Bang Bang, Arena of Valor dan Tekken 7.

Pusingan pemilihan tersebut dianjurkan ESM dan mendapat sokongan daripada KBS dan MSN.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved