Connect with us

General

#SukanSEA2019: MSN, ESM tidak berhasrat meneruskan konfrontasi

Published

on

Setiausaha Agung ESM Hisyam Darus (tengah) bersama Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi (kanan) dalam satu pertemuan pada Jumaat lalu. - Foto Facebook / Hisyam Darus

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara dan Persatuan Sukan Elektronik (ESM) tidak berhasrat untuk meneruskan konfrontasi dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak akan membantu penggalakan pembangunan e-sukan.

Setiausaha Agung ESM, Hisyam Darus berkata kedua-dua pihak telah bersepakat untuk bawa ke meja rundingan bagi setiap perkara berbangkit pada masa hadapan.

Beliau juga berkata pihak MSN dan ESM telah berbincang mengenai peruntukan RM750,000 daripada MSN untuk Acara Pemilihan Atlet E-Sukan ke Sukan SEA 2019 peringkat kebangsaan dan negeri.

“Setiap negeri perlu membekalkan resit-resit (sepanjang penganjuran acara pemilihan) dan hantar kepada ESM untuk dibuat tuntutan,” katanya ketika dihubungi WTM Today baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama MSN pada Jumaat lalu, mengenai plan dan rancangan atlet-atlet yang akan menyertai skuad Malaysia ke Temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Jelasnya, dalam pertemuan tersebut, segala persoalan dan kekeliruan yang timbul mengenai peruntukan dan bantuan telah dibincangkan dan berjaya diselesaikan.

BACA: MSN setuju salur bantuan RM750,000 tapi ESM gagal kemukakan dokumen permohonan

“Terima kasih Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi dan saudara Mohd Syazwan Mohd Hanafie (pegawai MSN) atas segala perhatian, sokongan inisiatif dan kerjasama kepada pembangunan e-sukan,” kata Hisyam.

Sementara itu, beliau juga berkata ESM akan menjadi badan sukan induk yang akan menyediakan perancangan bagi atlet yang telah terpilih ke bootcamp untuk Sukan SEA.

Menurut Hisyam, ESM akan mengeluarkan surat tawaran dengan terma dan syarat kepada atlet-atlet, selepas mendapat format daripada MSN.

“MSN akan memberi sokongan kewangan kepada satu pasukan sahaja pada setiap acara e-sukan. Mereka tidak berhasrat untuk menampung dua pasukan bagi bootcamp.

“Pasukan kedua akan memberi sokongan sebagai latihan atau apa-apa (berkaitan),” katanya.

BACA: Senarai penuh pemain yang layak ke pusingan bootcamp

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved