Connect with us

General

ReDeYe dedah pernah derita kemurungan

Published

on

ReDeYe merupakan pengulas tersohor dan merupakan antara pengulas profesional e-sukan pertama di dunia. - Foto: Facebook / ReDeYe

PENGULAS e-sukan terkemuka dunia, Paul Chaloner atau senang dikenali sebagai ReDeYe, mendedahkan beliau mengalami penderitaan gangguan mental.

Dalam satu ciapan pada semalam, ReDeYe berkata meski pun berasa sukar untuk meluahkan penderitaan yang dialaminya itu tapi beliau tetap mengambil keputusan untuk berkongsikannya agar dapat membantu mereka yang lain.

Jelasnya, apa yang diluahkan itu sangat bersifat peribadi.

“Saya telah menderita sakit mental untuk tempoh yang agak lama. Kebanyakan hari berlalu dengan baik dan saya mempunyai kenalan dan keluarga yang saya percaya untuk melalui saat yang tidak menyenangkan ini (dari segi mental).

“Saya memahaminya dengan cara susah, tidak kiralah hidup anda bagaimana rupanya, betapa selesanya anda, kerjaya yang mengagumkan, pasangan yang baik, kimia-kimia dalam otak anda tidak kisah pun pasal ini.

“Kemudian BAM, kemurungan mula menyerang anda. Tidak tahu dari mana. Susah untuk memahaminya, menjangkannya dan menanganinya,” katanya.

ReDeYe merupakan antara pengulas profesional e-sukan pertama di dunia. 

Beliau yang mula bergiat aktif sejak 2002 telah mengulas pelbagi e-sukan termasuk Quake3, Counter Strike: Global Offensive, StarCraft 2 dan Dota 2.

Pengulas kelahiran England itu telah mengulas banyak kejohanan major e-sukan, termasuk Kejohanan Dota 2 KL Major 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun lalu.

ReDeYe yang kini berusia 47 tahun berkata walaupun beliau semakin berasa selesa dalam kariernya namun kadang kala dia berdepan dengan rasa keraguan terhadap diri sendiri, yang menimbulkan rasa tidak berdaya dan berasa tidak layak untuk berada di kedudukan yang beliau ada sekarang. 

“Kemurungan yang pernah saya alami turut membawa rasa kekhuatiran (anxiety) dan paling teruk, ia membawa kepada satu perasaan yang semua orang seperti mahu mencari masalah dengan saya.

“Perasaan itu tidak pernah saya bayangkan. Ada kawan yang membuat perkara baik? Mesti mahukan sesuatu daripada saya. Ada ahli keluarga mahu datang ke rumah? Mesti mahu menyelidik saya. Ada kawan yang buat lawak, yang selalunya saya rasa kelakar? Mesti mahu buat saya marah. Pasangan saya mahu menyediakan lauk kegemaran? Mesti mahu meracuni saya.

“Perasaan paranoia itu berada di luar kawalan,” katanya.

ReDeYe berkata, beliau menulis perkara tersebut sebagai seseorang yang mengetahui kesihatan mental adalah penting dan perlu merawatnya seperti penyakit yang lain.

Beliau juga berkata dia tidak malu untuk mendapatkan bantuan, terutama daripada pakar perubatan.

Jelasnya juga, ada juga dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakannya mengalami kesihatan mental yang lebih teruk.

“Saya cuba untuk membantu mereka jika saya boleh. Saya bantu mereka untuk mendapatkan bantuan profesional juga,” katanya.

ReDeYe turut menasihatkan kepada mereka yang sedang bergelut dengan kesakitan mental, supaya mendapatkan bantuan.

“Dapatkan bantuan daripada kawan atau keluarga. Paling tidak, luahkan secara terbuka.

“Anda tidak keseorangan. Ramai yang mengambil berat dan sayangkan anda. Ia akan menjadi lebih baik,” jelas ReDeye.

Bagi anda yang mengalami masalah kemurungan, dapatkan bantuan segera di klinik dan hospital berdekatan. Ketahui maklumat lebih lanjut mengenai kemurungan di portal Kementerian Kesihatan Malaysia.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved