Connect with us

General

Penganjur mohon maaf, tarik balik poster berkaitan alkohol

Published

on

KUALA LUMPUR – Penganjur bersama bagi acara e-sukan Gamers Raveout, Lapar E-Sports akan menarik balik poster atau mana-mana maklumat yang mengandungi tawaran berkaitan dengan alkohol dalam acara itu.

“Kami ada sertakan dalam bahagian pendaftaran pertandingan bahawa peserta tidak boleh minum minuman alkohol. Namun kami juga faham mungkin ada kekeliruan.

“Jadi kami akan keluarkan semua tawaran mengenai alkohol dalam poster dan mana-mana bahan maklumat berkaitan termasuk pendaftaran peserta pertandingan bagi mengelakkan kekeliruan lanjut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lapar E-Sports Kravchuk Ilya Vyacheslavovich ketika dihubungi WTM Today.

Tambah Ilya, pihak mereka juga memohon maaf kerana menimbulkan salah faham dalam isu tersebut.

Jelasnya, pihak mereka tidak sama sekali mahu menggalakkan atlet-atlet e-sukan untuk minum minuman keras atau beralkohol.

“Kami mahu memberikan pendedahan mengenai e-sukan dalam cara yang berlainan dan berinovatif. Sudah tentunya kami akan mematuhi semua peraturan yang berkaitan kerana ini adalah pertama kali acara seumpama ini diadakan di Malaysia.

“Maafkan kami atas salah faham yang timbul,” kata Ilya.

Penganjuran Gamers Raveout sebelum ini menimbulkan kontroversi dalam kalangan penggiat e-sukan apabila peserta perlu membayar RM500 untuk menyertai pertandingan Dota 2 dan mempunyai pilihan untuk mendapat dua botol minuman keras atau minuman tidak beralkohol tanpa had pada hari acara tersebut.

Presiden Persatuan E-Sukan Kuala Lumpur (ESKL), Hisham Darus yang sebelum ini memberikan sokongan bertulis kepada acara tersebut berkata pihaknya telah menghubungi penganjur untuk memperbetulkan kempen dan bahan-bahan promosi berkaitan acara itu yang dilihat menawarkan minuman keras atau beralkohol kepada peserta.

Menurut Hisyam yang juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), setiap pertandingan atau acara yang berkaitan dengan e-sukan, adalah secara dasarnya tertakluk kepada peraturan dibawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Kami berharap, perkara ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang dalam  semua program yang akan berlangsung. 

“Persatuan kami tegas mengenai perkara ini dan akan terus mendidik dan mendekati para penggiat e-sukan tempatan mengenai tatacara dan garis panduan asas yang perlu dipatuhi,”katanya. 

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved