Connect with us

General

Langgar IP pembangun, Moonton batal permohonan Buzz anjur kejohanan Mobile Legends

Published

on

Mobile Legends : Bang Bang (MLBB) merupakan antara permainan video mudah alih atau e-sukan yang menjadi pilihan pemain di Malaysia. MLBB mempunyai lebih 5 juta pengguna aktif setiap bulan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Syarikat pembangun e-sukan Moonton menolak permohonan pengajur acara e-sukan Gamers Raveout, BUZZ untuk mengadakan satu kejohanan Mobile Legends : Bang Bang (MLBB) di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.

Pengurus Pemasaran Serantau Moonton, Nelson Woon berkata permohonan itu ditolak oleh pihaknya berikutan tindakan penganjur yang melanggar undang-undang harta intelek (IP) dan polisi e-sukan.

“Mereka telah menggunakan IP MLBB dalam bahan-bahan pemasaran mereka tanpa meminta kebenaran daripada pembangun.

“Ini adalah satu kes penyalahgunaan harta intelek yang serius,” kata Nelson ketika dihubungi WTM Today hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan BUZZ yang terpaksa membatalkan penganjuran kejohanan MLBB kerana gagal mendapatkan sokongan daripada Moonton sebagai pembangun meskipun mendapat panduan dan sokongan daripada majlis e-sukan tempatan.

BACA: Penganjur Gamers Raveout ingkar nasihat, teruskan promosi tawar minuman beralkohol – Hisyam ESKL

Dalam satu kenyataan semalam, BUZZ berkata ada beberapa pihak yang cuba menyebarkan khabar angin palsu mengenai acara mereka yang didakwa memerlukan pemain untuk minum minuman keras dalam acara itu.

“Kami ingin memberitahu kepada orang ramai bahawa kami sentiasa mendokong kempen #HealthyGaming dan pemain tidak dibenarkan untuk minum minuman keras  sepanjang kejohanan,” katanya.

BACA: Penganjur mohon maaf, tarik balik poster berkaitan alkohol

Sementara itu, Nelson berkata penganjur sepatutnya tahu dan faham mengapa jenama alkohol dan tembakau tidak dipilih sebagai penaja kejohanan sukan antarabangsa utama.

“Salah satu sebab kenapa Moonton membatalkan permohonan mereka kerana penglibatan alkohol dalam acara e-sukan mereka. 

“Ini adalah satu pengaruh buruk dan melanggar polisi kami, memandangkan ada dalam kalangan pmain kami berusia bawah 18 tahun.

“Mereka sepatutnya belajar mengenai industri e-sukan dan faham kenapa jenama alkohol dan tembakau tidak boleh menjadi penaja kejohanan e-sukan,” tambah Nelson.

Sebelum ini BUZZ ada memuat naik satu kenyataan di Facebook mereka mengenai cara-cara menyertai pertandingan MLBB dalam acara e-sukan.

Dalam kenyataan itu, peserta perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM80 dan akan diberi pilihan untuk satu bucket minuman bir atau minuman tenaga Monster Energy.

Kenyataan itu bagaimanapun dilihat tidak lagi disiarkan di Facebook BUZZ.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved