Connect with us

General

#EsportsBlueprint: Rangka tindakan e-sukan dijangka siap akhir April

Published

on

SYE SADDIQ: "Draf bagi rangka tindakan itu sudah ada tetapi akan dimaklumkan pada akhir bulan April ini." - Foto paparan skrin rtmparlimen.rtm.gov.my

Rangka tindakan (blueprint) pembangunan sukan elektronik (e-sukan) negara dijangka siap akhir bulan April kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata rancangan rangka tindakan e-sukan pertama negara itu sedang dilakukan pihak kementeriannya menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Rangka tindakan e-sukan negara pertama itu dilakukan bagi membolehkan program e-sukan diselaraskan secara berstruktur untuk pembangunan holistik di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Draf bagi rangka tindakan itu sudah ada tetapi akan dimaklumkan pada akhir bulan April ini,” katanya.

Jelasnya juga, pasukan petugas (task force) rangka tindakan itu diwakili penggiat e-sukan dan tokoh-tokoh industri e-sukan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati semalam di Parlimen yang meminta Syed Saddiq untuk menyatakan rancangan kementeriannya untuk menarik ramai belia menceburi bidang e-sukan agar selari memenuhi Industri Revolusi 4.0.

Dalam sesi yang sama, Syed Saddiq turut mengumumkan lima keutamaan strategik bagi rangka tindakan pembangunan e-sukan tersebut iaitu:

  • Ke arah kecemerlangan e-sukan;
  • Sokongan pertumbuhan industri e-sukan;
  • Akses kepada kemudahan e-sukan yang lebih baik untuk menarik pelabur;
  • Membentuk kesedaran awam dan mempromosikan gaya hidup bermain permainan video yang lebih bertanggungjawab;
  • Memupuk tadbir urus dan pentadbiran yang baik dalam industri e-sukan.

Beliau juga berkata ada banyak lagi inisiatif yang akan ditengahkan dalam tempoh terdekat bagi memastikan landskap e-sukan negara dapat berkembang rancak.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved