Connect with us

General

#SukanSEA2019: MasterRamen dipilih pengurus e-sukan

Published

on

master ramen
Pemilihan MasterRamen adalah kerana faktor pengalaman dan pengetahuan beliau yang luas mengenai industri sukan elektronik ini.

KUALA LUMPUR – Pengarah Mineski Event Team (MET) Malaysia Firdaus Hashim dipilih sebagai pengurus pasukan e-sukan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina nanti.

Menurut Presiden Persatuan E-Sukan Malaysia (ESM) Datuk Ananth S Nathan, pemilihan Firdaus atau senang dikenali sebagai MasterRamen untuk menggalas tanggungjawab tersebut atas faktor pengalaman dan pengetahuan beliau yang luas mengenai industri sukan elektronik ini. 

“Pengaruh dan kebolehan beliau dalam mengendali dan mengurus atlet juga merupakan antara satu faktor utama pemilihan beliau. 

“Tambahan pula, ada beberapa atlet yang telah lahir dibawah bimbingan kendalian syarikat beliau, MET. 

“Lebih-lebih lagi Sukan SEA ini akan diadakan di Manila, Filipina dan ini juga memberikan kelebihan kepada beliau memandangkan beliau mahir dengan selok belok dan keadaan di sana,” kata Ananth.

MasterRamen bukan satu nama asing dalam industri e-sukan di Malaysia.

Ada dalam kalangan peminat dan penggiat e-sukan yang menggelarnya sebagai “Bapa E-Sukan Malaysia” berikutan sumbangannya dalam industri ini.

Sejak menceburi bidang ini pada 2012, MasterRamen telah menjadi pengurus untuk beberapa pasukan e-sukan ke kejohanan antarabangsa.

Beliau yang juga merupakan salah seorang Exco ESM, pernah menjadi pengurus pasukan e-sukan Lowyat.Net Esports, Arrow Gaming, Mineski-X dan penasihat untuk Orange Taring.

MasterRamen juga pernah mengurus pasukan-pasukan e-sukan untuk ke kejohanan berprestij seperti The International 4, Asian Cyber Games SEA Invitational 2014, StarLadder SEA dan The International 6.

Pada tahun ini, beliau juga dipilih sebagai Pencipta Kandungan Rasmi untuk Facebook Gaming.

Berikutan pemilihan itu juga MasterRamen bertanggungjawab untuk mengurus atlet-atlet Malaysia yang akan menyertai enam acara-acara e-sukan dipertandingkan di Sukan SEA 2019, iaitu Defence of the Ancients (Dota 2), Starcraft II, Mobile Legends: Bang Bang, Arena of Valor, Tekken 7 dan Hearthstone.

Sukan SEA 2019 dijangka berlangsung pada November sehingga Disember nanti.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved