Connect with us

General

SukanSEA2019: Saya cuba bimbing atlet e-sukan, bawa pulang emas – MasterRamen

Published

on

MASTER RAMEN: InsyaAllah, dengan pengalaman dan ilmu yang ada, saya akan cuba untuk membimbing atlet-atlet e-sukan di Sukan SEA nanti.

KUALA LUMPUR –  Pengarah Mineski Event Team (MET) Malaysia Firdaus Hashim atau senang dikenali sebagai MasterRamen berazam untuk memberikan yang terbaik dengan tanggunggjawab yang diberikan sebagai pengurus atlet-atlet e-sukan ke Sukan SEA 2019 nanti.

“Terima kasih kepada Persatuan E-Sukan Malaysia (ESM) terutama kepada Presiden Datuk Ananth S Nathan dan Setiausaha Agungnya, Hisyam Darus kerana meletakkan kepercayaan kepada saya bagi tugasan ini.

“InsyaAllah, dengan pengalaman dan ilmu yang ada, saya akan cuba untuk membimbing atlet-atlet e-sukan di Sukan SEA nanti.

“Saya cuba untuk membawa pulang emas bagi Malaysia,” kata MasterRamen ketika dihubungi Whats The Meta mengenai pemilihannya sebagai pengurus pasukan e-sukan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina nanti.

Pada pagi tadi, Presiden ESM Datuk Ananth S Nathan mengumumkan MasterRamen diberi tanggungjawab untuk menggalaskan tugas pengurus tersebut.

Menurut Ananth, pemilihan itu adalah kerana faktor pengalaman dan pengetahuan beliau yang luas mengenai industri sukan elektronik ini. 

Berikutan pemilihan itu juga MasterRamen bertanggungjawab untuk mengurus atlet-atlet Malaysia yang akan menyertai enam acara-acara e-sukan dipertandingkan di Sukan SEA 2019, iaitu Defence of the Ancients (Dota 2), Starcraft II, Mobile Legends: Bang Bang, Arena of Valor, Tekken 7 dan Hearthstone.

Sukan SEA 2019 dijangka berlangsung pada November sehingga Disember nanti.

MasterRamen bukan satu nama asing dalam industri e-sukan di Malaysia.

Ada dalam kalangan peminat dan penggiat e-sukan menggelarkannya sebagai “Bapa E-Sukan Malaysia” berikutan sumbangannya dalam industri ini.

Sejak menceburi bidang ini pada 2012, MasterRamen telah menjadi pengurus untuk beberapa pasukan e-sukan ke kejohanan antarabangsa.

Beliau yang juga merupakan salah seorang Exco ESM, pernah menjadi pengurus pasukan e-sukan Lowyat.Net Esports, Arrow Gaming, Mineski-X dan penasihat untuk Orange Taring.

MasterRamen juga pernah mengurus pasukan-pasukan e-sukan untuk ke kejohanan berprestij seperti The International 4, Asian Cyber Games SEA Invitational 2014, StarLadder SEA dan The International 6.

Pada tahun ini, beliau juga dipilih sebagai Pencipta Kandungan Rasmi untuk Facebook Gaming.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved