Connect with us

General

#SukanSEA2019 : Maaf daripada pihak kami – ESM

Published

on

Ketika ini sedang berlangsung pusingan pemilihan wakil negara untuk acara-esukan bagi Sukan SEA 2019 yang bakal bertempat di Filipina nanti pada November. - Foto Facebook / ESM

KUALA LUMPUR – “Setakat ini saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan melainkan memohon maaf daripada pihak persatuan mengenai perkara ini.”

Itu kata-kata ringkas daripada Ketua Penerangan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) Muhammad Farouq Abdul Patah berhubung kenyataan pemain veteran StarCraft II Rambo Pang berhubung penganjuran acara pemilihan wakil negara ke Temasya Sukan SEA 2019.

Sebelum ini, Rambo meluahkan rasa kecewa terhadap penganjuran ESM yang memberi maklumat pada saat-saat akhir sehingga menyebabkannya menarik diri daripada menyertai pemilihan tersebut.

“Saya kecewa dan marah dengan pengurusan penganjur Sukan SEA berikutan pemberian maklumat pada saat-saat akhir yang menyebabkan ramai tidak boleh menghadirkan diri pada acara tersebut.

“Jadual pusingan peringkat kelayakan diumumkan menerusi email pada 24 April, pada jam 5.12 petang dan pusingan peringkat kumpulan berlangsung pada 29 dan 30 April bagi acara StarCraft II.

“Pihak penganjur mewujudkan kumpulan Whatsapp pada 25 April, pada jam kira-kira 5 petang untuk mendapatkan kepastian kehadiran kami selepas mendapat tahu kebanyakan daripada kami masih bekerja dan tidak boleh menyertainya,” katanya.

Menurut Rambo, dia risau jika atlet-atlet e-sukan yang berpotensi tidak dapat mewakili negara bukan kerana kekurangan skil tetapi berikutan masalah-masalah tersebut, terutama pemberian maklumat pada saat-saat akhir.

Ketika ini sedang berlangsung pusingan pemilihan wakil negara untuk acara-acara e-sukan bagi Sukan SEA 2019 yang bakal bertempat di Filipina nanti pada November.

Pusingan pemilihan tersebut dianjurkan ESM dan mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Pusingan peringkat negeri telah pun berlangsung sejak beberapa minggu yang lalu dan pusingan Grand Final peringkat kebangsaan (kumpulan) akan berlangsung pada minggu hadapan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved