Connect with us

General

Masscomm Wave mahu perkasa peranan media dalam e-sukan

Published

on

MOHAMED SHAFIQ: Menerusi Masscomm Wave, kita mahu membincangkan bagaimana media dan komunikasi massa boleh memberi sumbangan dalam pembangunan e-sukan. - Foto Masscomm Wave

REMBAU – Bagi terus memperkasakan bidang komunikasi dan media dalam industri e-sukan, satu program yang dinamakan Masscomm Wave telah pun dilancarkan.

Penasihat Masscomm Wave Mohamed Shafiq Mohamed Ayub berkata program itu boleh dilihat sebagai satu platform untuk membincangkan peranan media dalam mendidik masyarakat mengenai impak e-sukan bukan sahaja di peringat universiti malah kepada pembangunan negara. 

“Menerusi Masscomm Wave, kita mahu membincangkan bagaimana media dan komunikasi massa boleh memberi sumbangan dalam pembangunan e-sukan.

“Contohnya menerusi penganjuran acara, untuk berkomunikasi dan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai e-sukan tidak semestinya dengan menggunakan platform media baharu sahaja seperti Twitter atau Instagram.

“Kita boleh mulakan dengan mengadakan forum untuk masyarakat memahami lebih lanjut mengenai e-sukan. Dalam masa yang sama juga kita mahu membincangkan dan mempromosikan bidang baharu dalam kewartawanan, iaitu kewartawanan e-sukan kepada golongan muda” katanya kepada WTM pada Isnin.

Program Masscomm Wave merupakan inisiatif pelajar semester empat Diploma Fakulti Komunikasi & Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.

Ia diadakan bagi menyabut cabaran Kementerian Belia dan Sukan untuk mencungkil potensi anak muda tempatan dalam e-sukan.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program tersebut termasuk sesi perbincangan forum bertajuk “Masscomm Wave: Memperkasakan E-Sukan” yang melibatkan beberapa pengamal media dalam industri e-sukan sebagai panel termasuk Ketua Editor WTM Mariah Ahmad dan wartawan e-sukan Media Prima Digital Hazril Md Nor serta Jaa Suzuran sebagai moderator.

Forum tersebut turut menjemput pengulas e-sukan Muhammad Aiman Roshizam dan eksekutif pengatur acara Mobile Gaming Co, Mohd Syamil Mohammad bagi membincangkan cabaran bidang masing-masing dalam e-sukan.

Program Masscomm Wave UiTM Rembau turut mengadakan sesi forum bagi membincangkan isu-isu semasa e-sukan. – Foto Masscomm Rembau

Sementara itu, Mohamed Shafiq berkata beliau mengharapkan penganjuran Masscomm Wave di UiTM Rembau juga dilihat sebagai satu permulaan untuk merancakkan lagi aktiviti e-sukan di Negeri Sembilan.

“Pertamanya, kami mahu memberikan pendedahan mengenai e-sukan kepada komuniti kampus UiTM Rembau sebab kalau kita lihat banyak program e-sukan diadakan di Selangor dan Johor.

“Namun di Negeri Sembilan, kita tidak nampak sangat. Jadi ini adalah usaha pertama kami, walaupun ia program yang kecil tapi memberi impak yang besar apabila ahli-ahli akademik, staf dan pelajar-pelajar turun sendiri untuk menyaksikan dan memberi sokongan.

“Selepas mencapai objektif untuk memberi kesedaran mengenai e-sukan di kampus ini, kami merancang untuk mengadakan Persatuan Rembau Gamers untuk mengadakan lebih banyak kejohanan, forum, simposium dan persidangan untuk terus mendidik setiap generasi mengenai kepentingan e-sukan,” tambahnya.

Program Masscomm Wave yang dihadiri kira-kira 1,000 pelajar itu turut mengadakan kejohanan-kejohanan e-sukan seperti FIFA 19, Mobile Legends dan PUBG Mobile.

Beberapa kejohanan e-sukan turut diadakan sempena Masscomm Wave seperti FIFA 19, Mobile Legends dan PUBG Mobile – Foto Masscomm Wave

Bagi anda yang terlepas untuk mengikuti Masscomm Wave atau ingin tahu lebih lanjut mengenai program tersebut, boleh layari laman media sosial Masscom Rembau di Twitter dan Instagram.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved